Video: Zainal Abidin Cabar KJ Gantung FAM

Kuala Lumpur – “SAYA cabar beliau (KJ) untuk menggantung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam satu minggu ini.

 

Itu reaksi Timbalan Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia, Zainal Abidin Hassan terhadap kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang ingin menggantung badan induk itu.

 

Bekas pemain kebangsaan itu turut menyifatkan tindakan dan kenyataan menteri tersebut merimaskan dan dianggap kebudak-budakan selain memburukkan lagi keadaan.

 

“Kita tahu betapa sedihnya situasi bola sepak dan jika beliau benar-benar mempunyai kuasa dan mempunyai tujuan yang baik untuk bola sepak, gantung lah FAM dalam masa seminggu ini dan kita tengok apa kebaikannya dan kalau baik, saya dan rakan sejawat terima kalau digantung demi kebaikan bola sepak.

 

“Saya sebagai seorang yang dah lama dalam bola sepak ini sudah naik rimas dengan kenyataan beliau sebegitu di dalam surat khabar,” katanya di Kuantan, hari ini.

 

Menurutnya, KJ selaku menteri tahu undang-undang dan syarat yang perlu diatasi dan bukan mengeluarkan kenyataan sebegitu.

 

“Kami inginkan seorang menteri sukan yang memperbaiki keadaan dan bukan hanya bola sepak tetapi untuk semua sukan dan bukan dengan cara pergi ke stadium, duduk bersama penyokong bersama-sama memalukan pasukan negara kerana ini satu dorongan yang tak baik selaku menteri.

 

“Publisiti murahan oleh Khairy itu memalukan kami yang bertugas bertungkus-lumus dan mencari rezeki melalui industri bola sepak. Kami nak menteri yang memberikan dorongan atau memperbaiki sukan bola sepak (malah) semua orang tahu yang Khairy pernah menjawat jawatan tertinggi di FAM dan gagal mengendalikan pasukan beliau sendiri, My Team,” kata Zainal dipetik dari Twitter Pahang FA, hari ini.

 

Zainal Abidin yang juga pengendali Pahang itu menegaskan sepatutnya KJ mencari sesuatu mekanisme yang lebih baik untuk bangkitkan bola sepak dan bukan dengan kenyataan sebegitu.

 

“Beliau pun rakyat Malaysia, saya pun rakyat Malaysia, saya rasa amat malu jika mendapat kenyataan daripada seorang menteri sebegini,” katanya.

 

 

Belajar undang-undang dulu

 

Sebelum ini Khairy yang juga Ketua Pemuda Umno menyatakan FAM mungkin akan digantung ekoran gagal mengawal insiden rusuhan di Stadium Shah Alam pada aksi kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 antara Malaysia dan Arab Saudi, Selasa lalu.

 

Terdahulu, ‎Khairy turut mengkritik prestasi skuad Harimau Malaya yang kalah teruk 0 – 10 kepada Emiriah Arab Bersatu.

 

Kekalahan itu turut membawa kepada perletakan jawatan jurulatih kebangsaan Dollah Salleh.

 

Zainal turut menganggap tindakan penggantungan FAM akan menyebabkan implikasi buruk kepada bola sepak negara.

 

“Mungkin Khairy boleh selesaikan masalah rumput di (Stadium) Bukit Jalil dulu‎ kerana masalah yang amat besar ini beliau belum selesaikan sejak menjadi menteri,” tambah bekas pemain kebangsaan itu.

 

Sementara itu, Khairy dalam akaun Twitternya kemudian menjawab kenyataan Zainal.

“Kalau nak gantung pun kena ikut undang-undang. Surat tunjuk sebab, jawab 14 hari, ikut prosedur dan lain-lain.

 

“Belajar undang-undang dulu,” bidas Khairy.

 

 

Jumpa boleh, tapi…

 

Sementara itu, Khairy turut menyangkal pandangan Zainal yang menyifatkan beliau sebagai kebudak-budakan.

 

‎”Kalau Akta Pembangunan Sukan itu kebudak-budakan, dia kena salahkan Parlimen Malaysia kerana Parlimen Malaysia yang gubal undang-undang tersebut.

 

“Itu bukan saya cakap tapi termaktub dalam undang-undang‎. Jadi dia (Zainal) kata undang-undang Malaysia yang kebudak-budakan,” kata beliau pada sidang media Hari Kayuhan Malaysia 2015 di Dataran Merdeka, malam tadi.

 

Mengulas hasrat Exco FAM untuk bertemu beliau, Khairy berkata, persatuan itu perlu menyelesaikan dulu jawapan kepada Pesuruhjaya Sukan mengenai insiden yang berlaku 8 September lalu.

“Memang saya nak jumpa mereka (FAM) tapi biarlah mereka menjawab kepada Pesuruhjaya Sukan.

 

“Prosedurnya mereka ada 14 hari untuk menjawab dan selepas itu adalah ruang untuk saya berjumpa selepas keputusan oleh Pesuruhjaya Sukan,” jelas Khairy.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.