Tun Mahathir Dicabar Hadir Himpunan Baju Merah

KUALA LUMPUR – Penganjur Himpunan Rakyat Bersatu hari ini mempelawa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya turut serta meramaikan himpunan tersebut yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada 16 September ini.

 

Pengerusi Gabungan NGO Melayu Malaysia, Datuk Jamal Md Yunus yang menjadi jurucakap penganjur menjelaskan, jika Mahathir mengakui dirinya seorang yang berbangsa Melayu, maka Mahathir harus hadir ke himpunan tersebut.

 

“Tak ada masalah… Kalau beliau (Mahathir) masih menganggap bahawa dirinya masih Melayu, beliau kena hadir ke himpunan itu,” katanya dipetik dari portal Sinar Online.

 

Dalam pada itu Jamil turut memberi jaminan untuk sentiasa berada di sisi Mahathir sekiranya bekas pemimpin utama negara itu dapat menghadirkan diri ke himpunan tersebut.

 

“Saya akan pastikan saya akan berdiri di sebelahnya. Saya akan berbisik kepada Mahathir dan berpesan supaya beliau muhasabah diri” katanya lagi.

 

Dalam perkembangan berkaitan sebelum ini ketika diminta mengulas mengenai Himpunan Rakyat Bersatu yang juga dikenali sebagai Himpunan Baju Merah, Dr Mahathir menyifatkan ia bukan satu keperluan untuk dianjurkan.

 

Semasa himpunan Bersih 4.0 di ibu negara akhir bulan lalu yang didominasi oleh lebih 90 peratus peserta keturunan Cina, Dr Mahathir membuat kejutan menghadirinya selama dua hari berturut-turut meskipun ia bertentangan dengan pendiriannya selama ini yang menolak himpunan jalanan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.