Nilai Ringgit Dijangka Terus Turun Minggu Depan

KUALA LUMPUR – Ringgit dijangka rendah berbanding dolar AS minggu depan berikutan asakan penurunan didorong oleh kebimbangan terhadap faktor luaran, kata seorang penganalisis.

Ketua Strategi Mata Wang dan Penyelidikan Pasaran FXTM Global, Jameel Ahmad berkata sentimen para pelabur berkemungkinan besar akan dipengaruhi oleh kebimbangan mengenai perang perdagangan dan ketidaktentuan geopolitik.

Menurutnya, ini susulan langkah Amerika Syarikat (AS) untuk mengenakan sekatan terhadap Rusia atas dakwaan menggunakan senjata biokimia, selain mengenakan semula sekatan ekonomi terhadap Iran manakala Turki juga dikatakan akan turut menjadi sasaran pentadbiran Presiden Donald Trump.

“Semua faktor ini pada akhirnya akan menunjukkan bahawa selera pelabur terhadap risiko kekal terhad buat sementara ini,” katanya kepada Bernama.

Mengulas selanjutnya, Jameel berkata jika semua faktor luaran itu terus menguasai tumpuan pasaran, ringgit akan menyusut kepada RM4.10 berbanding dolar AS dalam minggu-minggu mendatang berikutan unit tempatan itu yang sememangnya sensitif terhadap faktor tersebut.

Bagi minggu yang baru berakhir, ringgit diniagakan dalam dagangan kecil berikutan kekurangan pemangkin akibat ketegangan membabitkan pertikaian perdagangan global yang berlanjutan.

Sentimen itu dijejaskan lagi dengan tindakan AS mengenakan sekatan terhadap Rusia.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, ringgit susut kepada paras 4.0830/0870 berbanding dolar AS daripada 4.0800/0850 dalam minggu sebelumnya.

Berbanding kelompok mata wang utama lain, ringgit turut susut berbanding dolar Singapura kepada 2.9781/9813 daripada 2.9770/9813 dan rendah berbanding yen kepada 3.6800/6846 daripada 3.6523/6574.

Ringgit bagaimanapun mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.2193/2248 daripada 5.3064/3146 dalam minggu sebelumnya dan tinggi berbanding euro kepada 4.6779/6837 daripada 4.7222/7292, sebelum ini. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.