Najib Sangkal Tuduhan Lim Guan Eng

DATUK Seri Najib Razak menyangkal tuduhan Menteri Kewangan Lim Guan Eng kononnya kerajaan Barisan Nasional (BN) merompak RM18 bilion hasil daripada wang tuntutan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Beliau sekali gus menyifatkan dakwaan itu adalah kenyataan politik yang tidak berasas sama sekali.

Bekas Perdana Menteri itu mendakwa kerajaan mungkin sudah membelanjakan wang dalam akaun Kumpulan Wang Amanah Disatukan yang sepatutnya digunakan untuk disalurkan kepada akaun amanah tuntutan GST bagi menampung perbelanjaan bulanan.

“Semua kutipan cukai dan pendapatan lain termasuk GST dibayar terus ke dalam Kumpulan Wang Amanah Disatukan kerajaan, dan dana kemudian dibayar ke dalam akaun amanah tuntutan GST setiap bulan bagi memenuhi keperluan pembayaran tuntutan secara berterusan.

“Ini dibenarkan oleh undang-undang dan memenuhi peruntukan Akta GST 2014, yang dibentangkan di Parlimen di mana pemimpin Pakatan Harapan (PH) juga hadir termasuk Guan Eng sendiri dan sudah tentu beliau tahu.

“Justeru, tiada wang atau dana ‘dirompak’ kerana semua kutipan wang GST dimasukkan ke dalam akaun Kumpulan Wang Amanah Disatukan,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan di laman Facebook rasminya, semalam.

Menurut Ahli Parlimen Pekan itu, menerusi sistem GST, pemilik perniagaan boleh menuntut cukai input GST apabila mereka membuat jualan, mengutip GST daripada pengguna akhir dan membayar GST yang dikutip kepada kerajaan.

Menurutnya, apa yang mungkin terjadi ialah apabila kerajaan mensifarkan GST pada 1 Jun lalu, pemilik perniagaan boleh menuntut kesemua cukai input GST mereka serta-merta menyebabkan semua peniaga membuat tuntutan sama ada membuat jualan atau sebaliknya.

Katanya, kerajaan kehilangan pendapatan selama tiga bulan apabila GST disifarkan dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pula belum lagi dilaksanakan.

“Akibat itu, kerajaan kini mengalami kesukaran untuk membayar tuntutan-tuntutan GST yang begitu banyak dan dibuat sekali gus serta memerlukan seseorang untuk dipersalahkan.

“Seperti biasa, kesalahan itu dituding ke arah kerajaan BN walaupun ia adalah kesilapan kerajaan PH sendiri,” katanya.

Menurutnya, dakwaan kononnya kerajaan BN ‘merompak’ RM18 bilion wang GST mungkin dapat dimasukkan sekali dengan ‘hutang negara RM1 trilion’ sebagai alasan kerajaan untuk tidak melaksanakan janji manifesto mereka, membatalkan atau mengurangkan bantuan kepada rakyat atau membayar tuntutan GST kepada pemilik perniagaan.

Katanya, memandangkan laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah dibuat selain Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) turut menyatakan akan membuat siasatan terhadap dakwaan ‘rompakan’ RM18 bilion ini, beliau bersedia memberi kerjasama sepenuhnya sebagai bekas Menteri Kewangan supaya kebenaran dapat didedahkan.

“Jika dakwaan itu tidak benar, Guan Eng memperdaya Parlimen kerana membuat tuduhan serius itu dan berharap Speaker Dewan Rakyat tidak melindungi Menteri Kewangan berkenaan.

“Ini kerana dewan yang mulia itu bukanlah tempat atau ruang bagi membuat dakwaan tidak berasas dan tuduhan yang bermotifkan politik,” katanya. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.