Wak Doyok Jadi Gengster

Tidak pernah terfikir menjadi pelakon, pengacara dan selebriti fesyen, Wak Doyok, 37, mengakui mengambil masa hampir dua tahun untuk menerima tawaran berlakon filem Abang Long Fadil 2.

Dia sendiri bagaikan tidak percaya apabila diberi kepercayaan oleh Syafiq dan Datuk Yusof Haslam untuk membawa antara watak utama filem yang turut dilakonkan Zizan Razak dan Syamsul Yusof itu.

“Saya memang tidak pernah terfikir bakal bergelar pelakon filem. Apabila ditawarkan Syafiq tertanya juga pada diri bolehkah saya berlakon?

“Namun, saya yakin ada sebab mengapa Syafiq menawarkan berlakon. Mungkin dia nampak bakat itu dalam diri saya,” katanya.

Filem arahan Syafiq Yusof itu bakal menemui penonton di pawagam pada 24 Ogos ini.

Menerusi filem berkenaan Wak Doyok sebagai gengster dan menariknya menjadi gengster yang ada kelas tersendiri.

“Apabila diberikan watak itu saya cuba berbincang dan memberi kelainan terhadap karakter gengster yang dibawakan.

“Mujur Syafiq seorang yang terbuka dan boleh menerima pandangan, malah saya turut diberi peluang menjaga imej pelakon lain sesuai dengan apa yang di inginkan,” katanya.

Wak Doyok berkata, jika filem ini berjaya dan penonton dapat menerima lakonannya tidak mustahil dia akan terus berlakon.

“Apabila diberi kepercayaan, saya perlulah memberikan yang terbaik dan syukur sepanjang menjalani penggambaran, babak saya tidak mengambil banyak ‘take’ hanya dua atau tiga kali.

“Jika lakonan saya berjaya untuk filem ini mungkin akan cuba berlakon filem lain pula.

“Menariknya, Syafiq sudah menawarkan saya berlakon filem untuk watak utama pula selepas ini,” katanya.

Wak Doyok berkata, jika watak dan jalan cerita menarik dia tidak akan menolak malah sanggup berkorban jika perlu berlakon sebagai nelayan.

“Orang sering melihat saya sentiasa kemas saja. Jika ditawarkan berlakon filem yang bagus, saya tidak ada masalah mengubah penampilan.

“Pada saya untuk memberikan yang terbaik pasti perlu pengorbanan dan saya tidak ada masalah,” katanya.-Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!