Rizal: Rakyat Yang Mahu Dana PERMATA Ditambah

Permintaan menambah dana program pendidikan awal kanak-kanak PERMATA bukan datang daripada penaungnya Rosmah Mansor, tetapi rakyat, kata pegawai khas perdana menteri Datuk Rizal Mansor.

“Banyak kawasan-kawasan yang masih tidak ada pusat PERMATA, jadi mereka minta tubuhkan di kawasan mereka.

“Bagi yang sudah ada, mereka minta tambah kerana terlalu banyak permohonan kemasukan,” katanya yang juga pembantu Rosmah.

Rizal berkata Rosmah “cuma sampaikan hasrat rakyat”.

“Permintaan yang tinggi ini kerana rakyat mampu menilai impak PERMATA kepada anak-anak mereka, bukan seperti pembangkang yang cuma tahu mengkritik,” katanya.

 

Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad semalam menyelar permintaan Rosmah yang juga isteri Datuk Seri Najib Razak agar kerajaan meningkatkan peruntukan PERMATA.

Nik Nazmi berkata PERMATA tidak memerlukan peruntukan tambahan kerana peruntukannya sudah meningkat tahun ini, walaupun peruntukan pendidikan dipotong.

Menulis di Facebook hari ini, Rizal berkata kenyataan Nik Nazmi itu melulu dan “seolah-olah beliau tidak pernah membaca mengenai PERMATA”.

Katanya, sudah berkali-kali diterangkan peruntukan PERMATA menurun.

“RM85 juta yang diperuntukkan pada tahun 2017 adalah termasuk penubuhan pusat TOP STEM Talent di Akademi Sains Negara dan kerja ubah suai dua buah pusat pendidikan menjadi Pusat Permata Pintar.

“Hakikatnya, jika ditolak kos ini bajet pengurusan PERMATA menurun lebih 10 peratus,” katanya.-Malaysiakini

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.