Peniaga Didakwa Miliki Bahan Letupan, Sokong Militan IS

SHAH ALAM – Seorang peniaga berumur 28 tahun didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas empat pertuduhan memiliki bahan letupan dan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Daesh (militan IS) mula Mac sehingga Julai lalu.

 

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Mohd. Shaiful Shahril Ramli selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Shakirah Mohtarudin.

 

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa pada 25 Mac hingga 30 Jun telah dengan pengetahuan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Daesh di dalam satu aplikasi Telegram atas nama Putra Zulkarnain dan ‘anonymous’ dan dengan itu dia telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 130 J (1)(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama jika sabit kesalahan.

 

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa pada 26 Jun hingga 29 Jun dengan pengetahuan telah memberi sokongan kepada berlakunya perbuatan pengganas yang melibatkan penggunaan bahan letupan dan perbuatan itu dilakukan dengan niat untuk melanjutkan suatu perjuangan ideologi dan perbuatan tersebut dianggap sebagai diniatkan untuk mengugut orang awam di Malaysia melalui aplikasi Telegram di dalam telefon bimbit Samsung Note 2 dan dengan itu dia telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 130 J(1)(b) Kanun Keseksaan.

 

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh pada 22 Julai didakwa telah ada dalam milikannya barang yang berunsur perbuatan keganasan dan berkaitan kumpulan pengganas iaitu sehelai baju sejuk dan sehelai bendera yang mempunyai lambang Daesh dan dengan itu dia telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 130 JB (1)(a).

 

Bagi pertuduhan keempat pula, tertuduh pada 22 Julai didakwa telah ada dalam milikannya bahan letupan yang mengandungi campuran sodium chlorate dan sucrose yang masing-masing berfungsi sebagai oxidizer dan fuel yang tersenarai dalam Seksyen 2 Akta Bahan Letupan 1957 dan dengan itu telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

 

Semua pertuduhan dilakukan di No. 3 Lorong Indah 1, Kampung Sri Indah B, Sungai Buloh.

 

Siti Shakirah kemudiannya menetapkan 20 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan penyerahan dokumen sebelum kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. – Kosmo!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.