‘Kami tak pandang papan markah’

TAHAP konsentrasi ratu terjun negara, Pandelela Rinong begitu utuh sehinggakan langsung tidak menoleh ke arah papan markah apabila kedudukan gandingan negara merosot seketika ke tangga ketiga acara 10 meter platform seirama.

 

Berganding bersama Cheong Jun Hoong, atlet dari Sarawak itu langsung tidak tergugat apabila pasangan Korea Utara, Kim Kuk Hyang dan Kim Mi Rae mengambil alih kedudukan kedua selepas terjunan ketiga.

 

“Kami fokus dengan terjunan kami dan tahu apa yang perlu dilakukan. Walaupun kedudukan mata dipaparkan di papan marah gergasi di seberang platform, kami langsung tidak memandang untuk mengetahui posisi semasa,” kata Pandelela selepas membantu kontinjen negara meraih pingat perak Sukan Olimpik, awal pagi semalam.

 

Gandingan negara mengumpulkan 344.34 mata menerusi lima terjunan di Pusat Akuatik Maria Lenk, di belakang pasangan China, Chen Ruolin dan Liu Huixia yang mendapat 354 mata.

 

Pasangan Kanada, Meaghan Benfeito dan Roseline Filion pula mendapat pingat gangsa dengan 336.18 mata.

 

“Saya gembira kerana saingan di sini cukup sengit sehingga kami perlu memberikan semua yang dipelajari sewaktu latihan. Saya rasa kami mampu melakukan lebih baik,” kata Pandelela.

 

Mengenai gandingannya Jun Hoong, Pandelela berkata, ini kali ketiga mereka digandingkan dalam kejohanan antarabangsa.

 

“Saya masih dalam proses pemulihan berikutan beberapa kecederaan yang dialami dan latihan di China berjaya digunakan sebaiknya di sini,” katanya.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.