Video: GP KL City Tidak Jejas Warga Kota – Tengku Adnan

Kuala Lumpur – Penganjuran perlumbaan kereta, Grand Prix (GP) KL City minggu lalu tidak menjejaskan kehidupan warga kota terutama kelancaran lalu lintas di ibu negara.

 

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, malah acara tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan­ daripada orang ramai.

 

“Berapa ramai yang marah berbanding dengan kira-kira 500,000 orang warga kota yang hadir bagi menyatakan sokongan terhadap penganjuran perlumbaan itu.

 

“Perlumbaan tersebut diadakan untuk memberi peluang kepada rakyat menyaksikan perlumbaan bertaraf dunia dengan lebih dekat tanpa dikenakan apa-apa bayaran,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

 

Beliau diminta mengulas rasa tidak puas hati banyak pihak di laman-laman sosial yang menyifatkan penganjuran perlumbaan GP KL City adalah suatu program tidak berfaedah dan menyusahkan rakyat.

 

Dalam pada itu, Tengku Adnan menyifatkan kesesakan yang berlaku ketika program itu adalah bersifat sementara dan bukannya berterusan.

 

“Saya mengakui ada kesesakan lalu lintas di pusat bandar ekoran penutupan beberapa jalan utama di kawasan tersebut. Namun itu adalah perkara biasa yang dilalui warga kota.

 

“Bagaimanapun program ini diadakan untuk mempromosi Kuala Lumpur kepada dunia. Bukan kita sahaja yang adakan program ini. Malah banyak lagi negara maju turut mengadakannya sebagai usaha mempromosi ibu negara masing-masing,” jelasnya.

 

Ditanya mengenai kawasan lain yang lebih sesuai untuk penganjuran program itu, beliau memberitahu,­ itu bergantung kepada permintaan penganjur.

 

GP KL City merupakan festival perlumbaan kereta supersports di litar yang dikhaskan sepanjang jalan raya utama di Kuala Lumpur menyaksikan pelbagai perlumbaan kereta GT seperti Lamborghini Super Cup, Formula Masters, Porsche Carrera Cup dan Audi R8 LMS Cup selain demonstrasi lima pasukan terbaik siri supercars V8.

 

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mhd. Amin Nordin Abdul Aziz berkata, penganjuran perlumbaan itu setanding dengan perlumbaan di negara lain.

 

“Monaco GP dan Singapore GP adalah contoh program perlumbaan bertaraf dunia disebabkan ia mempunyai kelompok peminat tersendiri yang bermula daripada sokongan rakyat tempatan,” katanya.

 

Mhd. Amin Nordin berkata, walaupun beberapa masalah dihadapi sepanjang tiga hari perlumbaan berlangsung, usaha keras penganjur dalam memastikan program berjalan lancar wajar dipuji.

 

Katanya, strategi promosi bagi penganjuran GP KL City tahun depan akan diperhebatkan selain memperbaiki sebarang kelemahan yang ada.

 

Sementara itu, tinjauan mendapati pengunjung yang memeriahkan­ acara berprestij itu teruja dengan perlumbaan itu malah ada pelancong dari luar negara yang datang ke Kuala Lumpur semata-mata untuk acara berkenaan.

 

Pelancong dari Australia, Brian Zammitt, 46, yang datang ke Malaysia atas urusan perniagaan berkata, pengalaman­ menyaksikan acara perlumbaan jalanan seperti itu sangat dinantikan memandangkan beliau­ peminat setia sukan permotoran.

 

“Acara ini hebat. Sebelum ini saya merancang pulang esok malam, tetapi sekarang bercadang tinggal seminggu lagi,” katanya.

 

Anak perempuan Zammitt, Natalie Zammit, 19, yang tiba di Kuala Lumpur tiga jam sebelum acara bermula sanggup terbang dari Sydney selepas diberitahu ayahnya mengenai acara tersebut.

 

“Saya tak pernah lihat perlumbaan seperti ini. Lebih hebat daripada yang saya jangka dan saya bercadang untuk datang lagi tahun depan,” katanya.

 

Pengunjung tempatan, Hasri Abdullah, 28, pula berkata, kedatangannnya­ ke acara tersebut ternyata berbaloi apabila melihat kualiti­ persembahan yang dipamerkan oleh para pelumba.

 

“Saya rasa seperti menonton perlumbaan filem 2 Fast 2 Furious. Walaupun saya tidak biasa naik pengangkutan awam, hari ini saya naik tren semata-mata untuk sampai ke sini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.