Tiga Lelaki Selamat Dari Hanyut Di Pulau Pangkor

Ipoh – Tiga lelaki berjaya diselamatkan selepas sampan yang mereka naiki dihanyutkan sebelum terkandas di pesisiran pantai di Teluk Segadas di Pulau Pangkor dekat sini, awal pagi tadi.
Musa Panjang Ahmad, 56, bersama anaknya Muhammad Faizal Musa, 27, serta adiknya Zakaria Panjang Ahmad, 51, keluar memancing di kawasan berkenaan kira-kira pukul 5 petang semalam, sebelum sampan mereka dihanyutkan ombak setinggi dua meter ke pesisiran pantai.

 

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pulau Pangkor Nor Mazlan Mohd Saleh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira 8.30 malam.

 

“Beberapa anggota dari Balai Polis Pulau Pangkor dengan sebuah jentera dan bot penyelamat bergegas ke tempat kejadian bagi melakukan operasi mencari dan menyelamat.

 

“Bagaimanapun, operasi menyelamat tidak dapat dibuat melalui laut kerana keadaan air surut pada ketika itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

 

Beliau berkata, pihaknya terpaksa mencari alternatif lain untuk mencari kesemua mangsa dengan melalui jalan darat sejauh dua kilometer dari arah Kota Belanda sebelum menemui mereka terkandas di pesisiran pantai itu.

 

Nor Mazlan berkata, kesemua mangsa yang berasal dari Bota ditemui berada dalam keadaan selamat, namun masing-masing sangat lemah akibat terpaksa bertahan dibadai ombak setinggi dua meter.

 

“Pihak bomba terpaksa membawa mangsa menggunakan sampan sejauh empat kilometer kerana mangsa terlalu letih sebelum dibawa ke Hospital Desa Pulau Pangkor untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.

 

Katanya, operasi menyelamat berkenaan tamat sepenuhnya kira-kira 2.50 pagi tadi. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.