Rogol Warga Emas 61 Tahun

Seremban – Mahkamah Sesyen Seremban, di sini, semalam, menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan kepada seorang lelaki kerana merogol warga emas berusia 61 tahun pada 10 Disember tahun lalu.

 

Muhammad Firdaus Muniandy Abdullah, 39, yang tidak diwakili peguam menerima hukuman tersebut selepas mengaku bersalah di hadapan Hakim Madihah Harullah.

 

Bekas pekerja bahagian kutipan sampah itu didakwa melakukan perbuatan berkenaan sekitar jam 4.30 pagi di sebuah bilik sewa yang dihuni mangsa di Jalan Rasah, di sini.

 

Tertuduh yang tinggal di bilik sebelah mengetuk pintu bilik mangsa berkali-kali dengan kuat, sebelum bertindak memecah masuk lantas memegang tangan wanita terbabit.

 

Muhammad Firdaus yang hanya bertuala kemudian menolak mangsa hingga terjatuh dan turut menamparnya kerana menjerit meminta bantuan.

 

Tertuduh hanya beredar meninggalkan mangsa yang merupakan tukang cuci di sebuah sekolah, selepas merogolnya.

 

Berdasarkan aduan dibuat mangsa, polis menangkap tertuduh kira-kira jam 11 pagi di hadapan sebuah kedai di Jalan Rasah, di sini, pada tarikh sama kejadian berlaku.

 

Mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan, hukuman diperuntukkan berbentuk penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat.

 

Bagaimanapun, bapa kepada bayi berusia 10 bulan ini memohon hukuman penjara dikira dari tarikh ditangkap, selain mengharapkan jumlah sebatan paling minimum.

 

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aishah Ab Rashid pula meminta mahkamah memberikan hukuman setimpal kerana mempertimbangkan tahap keganasan dilakukan tertuduh, termasuk usia mangsa semasa insiden itu berlaku. – Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.