Minum Susu Lembu Bayi Jadi Pemarah, IBCLC Tuntut Penjelasan TV3

Perunding Laktasi Malaysia (IBCLC) menuntut penjelasan penerbit rancangan TV3 mengenai program yang menimbulkan kekeliruan orang ramai berhubung penggunaan susu lembu menyebabkan bayi membesar menjadi orang pemarah.

 

Lembaga perunding bertauliah itu berkata, ibu yang memberikan susu formula kepada bayi mereka tidak boleh dipersalahkan kerana terdapat 2-6% wanita di dunia tidak dapat menghasilkan susu ibu untuk bayi mereka.

 

“Pihak kami sudah menghantar emel rasmi mengemukakan kenyataan di atas kepada pihak penerbit pada Sabtu lalu dan sehingga kini kami masih menunggu respons daripada pihak penerbit.

 

“Kami amat berharap penerbit sesebuah rancangan dapat meneliti fakta yang akan disampaikan penceramah/penyampai sebelum rancangan tersebut ditayangkan bagi mengelakkan kekeliruan masyarakat.

 

“Pihak kami masih mengharapkan penjelasan wajar daripada pihak penerbit mengenai hal ini dan terbuka untuk sebarang perbincangan lanjut,” kata 13 doktor dan wakil IBCLC dalam satu kenyataan bersama.

 

Fiqh Wanita, rancangan yang disiarkan di TV3 pada Jumaat lalu mengundang personaliti agama Fatimah Syarha bagi membincangkan hikmah penyusuan ibu namun pandangannya hangat diperdebatkan di media sosial.

 

Fatimah mendakwa ibu yang memberikan susu lembu akan menjadikan bayi mereka mewarisi sikap lembu membesar menjadi seorang yang pemarah.

 

“Kalau kita bagi susu lembu, maka DNA lembu akan masuk ke dalam badan bayi.

 

“Jadi ia akan mempengaruhi akhlak bayi. Mungkin bayi akan membesar menjadi orang yang pemarah sebab lembu ini cepat marah,” katanya berdasarkan sari kata rancangan itu yang viral di Internet.

 

IBCLC berkata terdapat beberapa fakta yang diutarakan oleh Fatimah kurang tepat dan bercanggah dengan ilmu perubatan/sains dan ilmu penyusuan susu ibu secara spesifik.

 

Katanya, antara fakta kurang tepat lain ialah tidak memberi susu ibu, anak tidak cukup antibodi, boleh jadi lumpuh; penyusuan payudara kanan dan kiri untuk memberi nasi dan air serta jika payudara berasa sakit seperti digigit tandanya bayi memberi isyarat ibu perlu mencari makanan yang baik.

 

“Fakta yang kurang tepat ini mendapat liputan meluas di media sosial dan menimbulkan pelbagai reaksi negatif serta ditakuti akan menimbulkan kekeliruan dan salah faham di kalangan masyarakat.

 

“Masyarakat tidak sepatutnya memandang rendah terhadap keupayaan ibu ini mahupun menghukum mereka kerana tidak memberikan susu ibu kepada bayi mereka.

 

“Apatah lagi melabel ibu atau bayi yang terlibat dan mengaitkan mereka atau sifat dan perilaku mereka dengan haiwan sumber susuan alternatif,” katanya.

 

Lembaga itu berkata walaupun susu ibu memberikan antibodi dan imunisasi tambahan kepada bayi tetapi ia tidak bermakna bayi yang tidak mendapat susu ibu tidak cukup antibodi dan berisiko menjadi lumpuh.

 

Katanya, walaupun ibu tidak dapat memberikan susu ibu sepenuhnya dan terpaksa dicampur dengan susu formula, ia tetap satu kebaikan dan kejayaan ibu tersebut kepada anak mereka.

 

“Sempena minggu penyusuan ibu, marilah kita sama-sama mengambil momentum ini untuk melindungi penyusuan ibu daripada promosi tidak beretika bahan gantian penyusuan ibu.

 

“Dan perkara yang dapat menimbulkan persepsi negatif masyarakat terhadap amalan penyusuan ibu.

 

“Semoga masyarakat berlapang dada dalam hal ini dan mengambil iktibar daripada kejadian yang sudah berlaku,” katanya. – M.Insider

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.