Kes Cerai: Bade Diberi Amaran Terakhir

Pengarah Badaruddin Azmi atau Bade yang juga suami pengarah dan pelakon, Erma Fatima diberi notis amaran terakhir oleh Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur semalam berikutan kegagalannya hadir bagi sebutan kes perceraian mereka.

 

Laporan Utusan menyebut, Hakim Syarie, Shaiful Azli Jamaludin mengeluarkan notis berkenaan setelah membenarkan permohonan peguam, Jamal Mohd. Lokman Sulaiman yang mewakili Erma berikutan Bade gagal hadir tanpa sebarang sebab.

 

Jamal memaklumkan mahkamah, walaupun Erma boleh memohon waran tangkap terhadap Bade namun anak guamnya memohon kes itu ditangguh kerana ingin memberi peluang ter­akhir kepada suaminya untuk hadir bagi prosiding kes berkenaan.

 

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 27 Ogos ini untuk sebutan semula kes perceraian Erma atau nama sebenarnya Fatimah Rahmad, 47, dan Bade, 52.

 

Ini merupakan kali kedua Bade gagal hadir ke mahkamah bagi prosiding kes itu setelah serahan saman secara tangan kepadanya disempurnakan pada 19 Mei lalu.

 

Erma juga tidak hadir ke mahkamah setelah mengetahui suaminya masih gagal hadir.

 

Erma yang telah mendirikan rumah tangga hampir 25 tahun bersama-sama Bade memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya itu pada awal Mei lalu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

 

Pasangan itu juga mempunyai lima anak angkat iaitu Ahmad Albab, 22, Ahmad Arri, 20, Ahmad Aifin, 18, Citra, 13, dan Nurain yang kini berusia sembilan tahun.

 

Pada 27 Mei tahun lalu, Bade yang juga pengarah filem KL Menjerit, berkahwin buat kali kedua dengan Aida Abdullah yang berusia 30-an dengan mendapat restu dan keizinan Erma.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.