DUN Pahang Lulus Bajet Tambahan Persediaan Banjir

KUANTAN – Sidang Dun Pahang hari ini meluluskan peruntukan tambahan 2015 berjumlah RM118.6 juta bagi menampung perbelanjaan kerajaan negeri khususnya bagi menghadapi bencana banjir yang kerap melanda negeri ini.

 

Usul diluluskan selepas bacaan kali ketiga oleh Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob dan disokong oleh Datuk Lau Lee (BN-Damak) serta mendapat persetujuan sebulat suara oleh penyokong kerajaan dan pembangkang.

 

Menerusi peruntukan tambahan itu, sejumlah RM60 juta adalah untuk menampung bayaran saham kerajaan negeri kepada Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) manakala RM46.1 juta bagi kos perbelanjaan semasa banjir di negeri ini menerusi Tabung Malapetaka Negeri Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

 

Ia turut membabitkan tambahan emolumen sejumlah RM4.6 juta selaras Rang Undang-Undang Enakmen Anggota Pentadbiran dan Adun yang diluluskan pada sidang lalu iaitu menampung kenaikan gaji 10 ahli Exco serta 42 Adun.

 

Perbelanjaan lain diluluskan menerusi peruntukan tambahan itu adalah bantuan pertubuhan dan sumbangan lain (RM5juta), perubatan/hemodialisis (RM2juta), kajian dan pembangunan artifak Lembaga Muzium Pahang (LMP) (RM100,000) serta kekurangan belanja pengurusan LMP (RM518,724).

 

Dalam pada itu, Sidang Dun turut meluluskan penubuhan Perbadanan Muzium Pahang bagi menggantikan LMP selepas ia dibaca buat kali ketiga oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan dan Pelancongan negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin yang disokong Datuk Maznah Mazlan (BN-Muadzam).

 

Mohd Sharkar ketika membentangkan usul berkenaan, berkata penubuhan Perbadanan Muzium Pahang adalah untuk membolehkan organisasi berkenaan menjana pendapatan sekali gus mengembangkan lagi operasinya.

 

Turut diluluskan ialah Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam (Pindaan) 2015 yang dibentangkan buat kali ketiga oleh Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-tugas Khas negeri, Datuk Syed Ibrahim Syed Ahmad dan disokong Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail (BN-Pulau Tawar).

 

Rang undang-undang yang akan berkuat kuasa pada 1 Oktober itu adalah untuk meminda Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam 1991 yang antaranya bertujuan memperluaskan skop individu layak dilantik sebagai Ketua Hakim Syarie atau Hakim Mahkamah Tinggi Syariah.

 

Speaker Dun, Datuk Ishak Muhamad kemudian menangguhkan Sidang Dun ke satu tarikh yang akan diumumkan kemudian. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.