Doktor Kongsi Detik Kelahiran Bayi Kepada Kanak-Kanak 11 Tahun

JEMPOL – Sudah 20 tahun Dr. Yee Mee Faa tidak menyambut kelahiran bayi namun di hadapannya pada pagi Rabu lalu ialah seorang kanak-kanak berusia 11 tahun yang bakal melahirkan anak pada bila-bila masa.

 

Lebih mendebarkan pemilik sebuah klinik swasta di Bahau itu, kes berkenaan pula melibatkan kelahiran songsang yang biasanya hanya dikendalikan oleh doktor pakar.

 

Memandangkan doktor dari Klinik Kesihatan Bahau masih belum tiba, beliau yang dibantu oleh tiga jururawat klinik menguatkan semangat untuk menyambut kelahiran apabila kaki bayi sudah terkeluar.

 

“Tuhan sahaja yang tahu perasaan saya ketika itu dan saya sangat gemuruh apabila mengetahui pesakit berusia 11 tahun itu bakal melahirkan bayi.

 

“Walaupun ini pengalaman mendebarkan namun saya bersyu­kur kerana mereka selamat malah beberapa hari lalu saya dan jururawat telah melawat ibu dan bayi itu di Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah,” katanya yang menceritakan semula detik kelahiran bayi berkenaan di sini hari ini.

 

Rabu lalu, seorang murid perempuan darjah lima sebuah sekolah di sini mengejutkan seluruh negara apabila melahirkan bayi lelaki di sebuah klinik swasta.

 

Murid berkenaan yang mengadu sakit perut sejak beberapa hari sebelumnya, telah memaklumkan masalah itu kepada ibunya yang juga seorang pembantu kedai, nenek dan bapa saudaranya sebelum dihantar ke klinik milik Mee Faa.

 

Sewaktu berada di klinik itu, kanak-kanak berkenaan melahirkan seorang bayi secara normal pada pukul 10.15 pagi sebelum dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah untuk rawatan lanjut.

 

Sementara itu, Mee Faa me­ngakui beliau tidak menyangka kejadian tersebut telah menjadi viral di laman sosial sehingga banyak pihak melahirkan rasa simpati terhadap ibu muda tersebut.

 

Katanya, semua pihak perlu mengambil iktibar daripada kejadian itu dan berhenti menyebarkan maklumat palsu berkaitannya.

 

“Nasihat saya, ibu bapa perlu memantau anak mereka dan tahu perubahan yang berlaku pada anak.

 

“Rapatkan diri dengan anak dan jadi rakan mereka agar sama-sama berkongsi masalah,” katanya. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.