Video: MB Selangor Jadi Parodi Lawak Di Media Sosial

Shah Alam – Sebuah video parodi yang menceritakan kemelut jawatan Menteri Besar Selangor kini mendapat perhatian hangat di laman sosial.

Terdapat tiga watak di dalam video itu – masing-masing mirip kepada Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali.

Video berdurasi 3 minit 26 saat itu memaparkan Khalid menceritakan kesedihannya yang terpaksa menjadi ADUN biasa dan melepaskan jawatan nombor satu itu meskipun pada dahulunya khidmat beliau disanjung dan dipuji kerana berjaya mengumpul rizab negeri yang tinggi.

“Aku yg dulu bukanlah yang sekarang. Dulu disayang, sekarang ku ditendang. Dulu-dulu aku yang mengarah, sekarang aku pula diarah,” demikian mengikut lirik video seperti merujuk terhadap tindakan meletak jawatan dan penggugurannya daripada PKR.

Watak Azmin pula diperlihatkan seperti meratapi nasib diri yang sehingga kini gagal merealisasikan cita-cita untuk menjadi menteri besar.

“Hidupku dulunya seorang pembodek, pulang hari selalu jadi kaki ampu, mengejar cita-cita jadi MB, tapi tidak menjadi-jadi,” katanya.

Anwar pula diterjemahkan sebagai watak utama di sebalik masalah di negeri ini yang membabitkan perjalanan parti sehinggalah jawatan menteri besar itu.

“Hidupku dulunya seorang penglipur lara, pulang hari selalu jadi tukang sandiwara, mengejar cita-cita paling mulia, bersyukur masuk ofis MB pula.

“Cita-citaku menjadi diktator, dulu Ahli Parlimen sekarang jadi ADUN, tidak ku peduli pada sesiapa, aku mesti jadi MB,” memetik lirik video lagu itu.

Khalid sehingga kini berkata beliau akan terus memegang jawatan Menteri Besar Selangor sehingga ada perkembangan terbaru bersabit kemelut itu.

Khalid terdahulu menyifatkan pemecatan itu sebagai melanggar perlembagaan PKR dan tidak adil kerana beliau memohon penangguhan sesi penjelasan kepada Lembaga Disiplin tetapi tiada jawapan balas diberikan.

PKR beralasan Khalid perlu dipecat bagi mengelakkan Selangor terus diancam krisis dalaman yang akhirnya menyebabkan Pakatan Rakyat gagal mempertahankan negeri itu pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Krisis itu makin bersimpul apabila Sultan Selangor memperkenankan untuk beliau terus menjadi menteri besar buat masa ini hingga ada perkembangan terbaru mengenai kedudukan Khalid.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.