Setiausaha Agung PKR, Akui PAS Dan UMNO Mungkin Kerjasama

Shah Alam – Sekalipun PAS berganding dengan Umno ia masih belum cukup memberikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sokongan majoriti dalam DUN Selangor, kata Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

“Kalau sokongan terhadap dia (Khalid) adalah 28 (PAS 15, BN 12, Khalid 1), kami di sini ada 28 (DAP 15, PKR 13). Apa yang ada sokongan majoritinya?” kata Saifuddin.

“Itu maksud saya. Apakah yang telah disampaikan oleh Tan Sri ke bawah Duli Tuanku?

Saifuddin melahirkan rasa kesal Khalid tidak mencadangkan kepada Sultan Selangor supaya mengadakan sidang khas DUN supaya sokongan untuk Khalid dapat dibuktikan.

“Sebab itu kita minta diadakan Sidang Dewan untuk undi tidak percaya bagi membuktikan apakah benar dia mendapat sokongan majoriti,” kata beliau.

“Maksudnya kalau seri, jalan yang terbaik Tuanku Sultan bubar DUN dan pilihan raya negeri (PRN) akan berlangsung, itu jalan yang terbaiklah kan sebab seri,” kata Saifuddin.

Beliau tidak menolak kemungkinan PAS dan Umno bekerjasama dalam isu Khalid sungguhpun perjuangan politik mereka berbeza.

“Tetapi itu juga bermaksud PAS dengan Umno secara langsung duduk sekali (bekerjasama), mereka mungkin berbeza namun dalam isu Khalid mereka sama,” kata beliau tanpa menghurai lanjut.

Khalid berkata Tuanku perkenan beliau terus kekal sebagai MB selepas memberi perakuan bahawa beliau masih mempunyai sokongan majoriti dalam DUN walaupun dipecat daripada PKR.

PKR dan DAP mahu Khalid digantikan dengan Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, namun cadangan itu ditolak oleh pimpinan PAS yang mahu Khalid dikekalkan.

Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kesemua 12 ADUN parti itu di Selangor akan memberikan sokongan kepada Khalid tanpa sebarang pra-syarat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.