Selepas Rashid Jadi Mangsa Kritikan Tengku Mahaleel: ‘Keadaan Tidak Sama Lagi’ – Rashid Sidek

KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek mengakui, keadaan tidak sama lagi apabila beliau kembali melapor diri dalam skuad badminton kebangsaan, Rabu ini, namun sebagai seorang yang profesional beliau tetap memberi komitmen 100 peratus.

Bekas jaguh perseorangan negara itu turut menambah, kepulangannya di kem latihan negara pada Rabu dan bukan hari ini seperti yang dilaporkan media sebelum ini bukan tanda ‘protes’ terhadap kemelut yang melanda dirinya dan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff.

Sebaliknya, rancangan untuk bercuti panjang memang telah dibuat sejak sebelum Sukan Komanwel XX di Glasgow kerana beliau tidak berkesempatan bercuti sebelum ini.

“Keadaan memang tidak sama lagi apabila saya kembali nanti, tetapi saya tetap akan bertugas sebagai jurulatih seperti biasa dengan penuh komitmen.

“Saya ambil cuti hingga Selasa iaitu cuti raya kerana sebelum inipun, saya tidak berpeluang untuk bercuti pada bulan Aidilfitri.

“Rabu ini barulah saya akan memulakan tugas seperti biasa,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tahun lalu, Rashid juga terpaksa menyambut Aidilfitri di Guangzhou kerana terlibat dengan Kejohanan Dunia.

Sementara itu, Rashid mengakui bahawa situasi di sesi latihan pasti sedikit berbeza daripada sebelum ini kerana apa yang berlaku selepas tamat Sukan Komanwel.

“Saya akan melapor diri seperti biasa, tetapi keadaan di sana (sesi latihan) mungkin sedikit berbeza.

“Bagaimanapun, saya tetap melakukan tugasan dengan profesional tanpa membenarkan kemelut yang berlaku menjejaskan latihan pemain,” ujarnya.

Rashid menjadi mangsa kritikan Tengku Mahaleel setelah Malaysia gagal mengekalkan penguasaan selama 24 tahun dalam acara perseorangan lelaki Sukan Komanwel baru-baru ini.

Dua anak didiknya, Chong Wei Feng dan Liew Daren masing-masing kalah mengejut kepada lawan dari India di suku akhir.

Sejak itu dari situ bermulanya pelbagai spekulasi berhubung status jurulatih itu yang dikatakan mungkin tidak akan disambung kontrak.

Bagaikan kecewa dengan perkembangan semasa, Rashid tidak menolak kemungkinan akan mengikut jejak langkah abangnya, Datuk Misbun yang meninggalkan skuad negara jika berasakan khidmatnya tidak diperlukan lagi.

Kelmarin, bekas pemain perseorangan negara, Roslin Hashim memohon supaya BAM menunggu laporan daripada Rashid dan mengadakan post mortem berhubung prestasi pemain di Sukan Komanwel yang lalu sebelum menyalahkan mana-mana pihak.

Tambah Roslin, hubungan dingin antara Tengku Mahaleel dan Rashid perlu diselesaikan segera kerana permasalahan itu secara tidak langsung boleh menjejaskan persediaan skuad kebangsaan untuk berdepan cabaran Kejohanan Badminton Dunia dan Sukan Asia di Incheon selepas ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.