Selamatkan Palestin Warga Ibukota Bangkit

Kuala Lumpur – Ribuan peserta menyatakan solidariti mereka terhadap rakyat Palestin yang ditindas rejim Zionis dalam satu program yang diadakan di Taman Tasik Titiwangsa semalam.

Program Bulan Kemarahan Ummah anjuran badan bukan kerajaan (NGO) Aman Palestin itu diadakan bertujuan menggesa masyarakat antarabangsa menghentikan kekejaman Israel terhadap Palestin.

Pengerusi Eksekutif Aman Palestin, Abdullah Zaik Abdul Rahman berkata, program terbabit diadakan sebagai tanda solidariti rakyat Malaysia dan umat Islam khususnya di negara ini terhadap masyarakat Palestin.

“Program ini merupakan mesej kebangkitan rakyat di negara ini yang mahu kekejaman Israel dihentikan dan kami tidak akan berdiam diri terhadap jenayah yang dilakukan Israel,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran program itu.

Menurutnya, selain perhimpunan, Aman Palestin turut mengadakan beberapa siri kempen sepanjang bulan ini antaranya kempen memboikot secara aman McDonald’s, Starbucks, HSBC; Busking Palestin, Rally Merdeka Palestin, Petisyen Sejuta Jiwa Berjuang untuk Gaza dan Toll2Gaza.

Turut hadir memberi sokongan pada program tersebut Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali serta selebriti Heliza Helmi dan Farah Adeeba Mohammed Ashraf.

Seramai kira-kira 2,000 rakyat di negara ini berhimpun pada program tersebut bagi menyatakan bantahan dan kemarahan terhadap kekejaman rejim Zionis.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.