Saham MAS Naik 10.4 Peratus, Saham Paling Aktif Di Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR: Saham MAS naik 10.4 peratus awal pagi ini selepas pemegang saham terbesarnya Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) mengumumkan tawaran membeli balik saham berkenaan yang belum dimilikinya pada 27 sen seunit daripada pemegang saham minoriti, Jumaat lalu.

Pada awal sesi dagangan hari ini, saham MAS diniagakan pada 26 sen, naik 8.3 peratus daripada 24 sen ketika urus niaga sahamnya digantung Jumaat lalu. MAS adalah antara saham paling aktif di Bursa Malaysia.

Menerusi langkah itu, Khazanah yang menguasai 69.37 peratus saham MAS dijangka membuat pembayaran hampir RM1.4 bilion bagi baki saham syarikat penerbangan nasional itu yang belum dimilikinya.

Pengambilalihan penuh saham MAS akan membolehkan Khazanah melaksanakan rancangan penyusunan semula syarikat penerbangan itu yang sudah rugi sejak tiga tahun berturut-turut.

“Kami lihat gerak kerja ini sebagai satu peluang baik kepada pemegang saham untuk keluar daripada MAS,” kata MIDF Research dalam satu nota penyelidikan hari ini.

“Berdasarkan anggaran kami, kami jangka operasi penerbangan MAS akan terus mencatat kerugian dalam beberapa tahun akan datang berdasarkan persekitaran pulangan rendah semasa dan harga minyak yang tinggi,” kata firma penyelidikan itu.

Khazanah yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dijangka mengumumkan butiran menyeluruh pelan penyusunan semula itu pada hujung bulan ini selepas mendapat kelulusan semua pihak berkaitan.
Sumber berkata, MAS dan pemegang sahamnya sedang berunding dengan sekumpulan bank berhubung pembaikan menyeluruh yang mungkin merangkumi jualan sebahagian daripada anak syarikat kejuruteraannya dan menaik taraf angkatan pesawat.

MAS mencatat prestasi kewangan terburuk dalam tempoh dua tahun pada suku Januari-Mac dan kini beroperasi menggunakan dana tunai.

MAS dijangka mengumumkan keputusan kewangan suku kedua pada 20 Ogos ini. Penganalisis menjangkakan ia mungkin keputusan kewangan suku tahunan terburuk, sebahagian besarnya disebabkan pembatalan penerbangan selepas kehilangan misteri MH370.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.