Perjumpaan Mengejut Dengan Hadi Awang, Anwar Tawar Jawatan Timbalan Menteri Besar?

KEMASKINI:  Kuala Terengganu – Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan telah mengadakan pertemuan mengejut dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Kuala Terengganu petang tadi.

Setiausaha Agung PAS Pusat Datuk Mustafa Ali ketika ditemui pemberita mengesahkan perkara itu.

“Ok. Ya saya sahkan ada (pertemuan),” katanya ketika ditemui di perkarangan sebuah hotel di Kuala Ibai semalam.

Pertemuan berkenaan dipercayai ada kaitan dengan kemelut isu menteri besar Selangor.

Bagaimanapun, Hadi enggan bertemu dengan media dan meninggalkan tempat perjumpaan itu secara tergesa-gesa.

Namun menurut sumber di dalam perjumpaan tersebut, Anwar telah menawarkan jawatan Timbalan Menteri Besar kepada PAS sebagai balasan kerana menyokong PKR.

“Saya dimaklumkan, Anwar cuba memujuk Hadi agar tidak menyokong Khalid ekoran beberapa isu salah laku yang dibangkitkan sebelum ini.

“Sebagai balasan, parti itu akan diberikan jawatan Timbalan Menteri Besar” katanya lagi.

Menurutnya jawatan tersebut akan diwujudkan kembali bagi memberi peluang kepada PAS untuk memberikan sumbangan yang lebih besar dalam pentadbiran Selangor.

“Ia bukan perkara yang baru, kerana jawatan tersebut pernah diwujudkan ketika pentadbiran Tan Sri Muhammad bin Haji Muhammad Taib.

Dalam pada itu sumber dalam PKR pula berkata Anwar buntu dalam mencari penyelesaian apabila Hadi bertegas tolak calon yang dikemukakan oleh PKR.

Menurutnya dalam pertemuan semalam, Presiden PAS itu bertegas menolak Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.

Hadi, dalam kenyataan sebelum ini bertegas mahukan Abdul Khalid kekal sebagai Menteri Besar Selangor, mahu PKR menamakan calon lain selain Wan Azizah.

Antara nama yang disebut-sebut menjadi pilihan PAS ialah Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa.

Sementara itu, Anwar ketika ditemui enggan mengulas lanjut hasil pertemuannya dengan Abdul Hadi dan menganggap ia hanya pertemuan biasa.

“Perjumpaan biasa…kita baru dalam proses perbincangan…bincang banyak isu…hasilnya macam biasa,” kata Anwar ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, malam tadi.

PKR memecat Khalid sebagai ahli ekoran keengganan beliau melepaskan jawatan menteri besar dan memberi laluan kepada presiden parti Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail untuk menggantikannya.

Khalid sebelum itu memberitahu pemberita di Shah Alam bahawa Sultan Sharafuddin Shah memberi perkenan kepada beliau untuk terus kekal sebagai menteri besar.

“Menurut artikel 53 (2) (b) Undang-undang Tubuh Negeri sudah diperuntukkan ahli majlis kerajaan negeri selain menteri besar sekurang-kurangnya empat hingga 10 ahli.

“Parti PAS sudah nyatakan keempat-empat anggota (exco) akan bersama kerajaan negeri dan saya.

“Oleh sebab itu, saya boleh terus mengetuai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,” katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Negeri di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.