Mekanik Maut Langgar Lembu

Kemaman – Seorang mekanik maut selepas motosikal yang ditungganginya merempuh seekor lembu dalam kejadian di KM131.9 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Kampung Titian Berayun malam tadi.

Mangsa Mohd Nurul Hafizul Mohd, 30, maut di tempat kejadian akibat tercampak selepas merempuh haiwan itu.

Kejadian pada jam 8 malam itu berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Gong Chengal, Kemasik selepas pulang menziarahi ibunya di Kijal.

Namun ketika tiba di tempat kejadian motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggangi mangsa melanggar lembu itu yang melintas jalan.

Akibat rempuhan itu dia tercampak 10 meter dan mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.

Mangsa yang baru sebulan bekerja di sebuah bengkel membaiki kereta di Mak Lagam meninggalkan seorang balu Nor Zalwati Mohd Yusof, 33, yang sedang sarat mengandung dan dua anak lelaki yang berusia dua dan empat tahun.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Che Suza Che Hitam ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.