Jeremy Intai Emas Di Incheon

Putrajaya – Pelayar negara Jeremy Koo yakin mampu membawa pulang pingat emas bagi acara perahu layar pada temasya Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan yang dijadual berlangsung dari 19 September hingga 4 Oktober.

Beliau berkata ini berdasarkan prestasi semasa yang ditunjukkan semua kru dalam beberapa siri kejohanan bertaraf dunia sebelum ini, termasuk pencapaian terbaharu menjuarai Liga Layar Malaysia (LLM) yang berlangsung di Pusat Maritim Putrajaya.

Jurumudi berusia 33 tahun itu, yang mewakili pasukan pelayaran Sime Darby Foundation-KRT muncul juara selepas mencipta kemenangan 2-1 ke atas pencabar utama iaitu TLDM Match Racing Team, yang dikendali Mohd Masyuri Rahmat pada aksi final semalam.

Jeremy berkata saingan di peringkat Sukan Asia pasti mencabar namun beliau mempunyai strategi sendiri untuk mengatasi kuasa besar dalam acara perahu layar iaitu Korea Selatan, Jepun, Singapura dan India.

“Saya pasti akan mengekalkan kru sedia ada kerana kami telah lama bersama sejak dari kecil lagi dan saling mengenali antara satu sama lain serta boleh dikatakan sebagai sebuah keluarga,” katanya selepas mengakhiri cabaran Kejohanan LLM.

Beliau berkata pasukannya dijadual bertolak ke Incheon pada 16 September bagi menjalani latihan penyesuaian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.