Geng Pecah Tabung Masjid ‘Udin Tedung’ Tumpas

Jasin – Tiga anggota kumpulan ‘Geng Udin Tedong Pantai Merlimau’ termasuk dua orang adik beradik yang dipercayai terlibat dalam 23 kes pecah tabung masjid di sekitar Merlimau dan Sungai Rambai selain Ledang di Johor antara April tahun lepas hingga Julai lalu telah ditahan.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, mereka terdiri daripada ketua kumpulan itu ‘Udin Tedong’ yang berumur 20 tahun, adiknya yang berumur 18 tahun dan rakan mereka yang berumur 17 tahun yang ditahan secara berasingan di Tedong antara pukul 7.45 malam dan 9 malam pada Jumaat lalu.

“Tangkapan pertama dilakukan terhadap Udin Tedong di rumahnya di Kampung Tedong Pantai pada 7.45 malam manakala tangkapan kedua ke atas adiknya juga di rumah mereka pada 9 malam disusuli dengan tangkapan ketiga melibatkan rakan mereka di kawasan Tedong.

“Kesemua mereka mengaku melakukan 23 kes, masing-masing 18 kes di Merlimau dan Sungai Rambai manakala lima di Ledang, Johor melibatkan kerugian antara RM20 hingga RM500 bagi setiap tabung masjid yang dipecah,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Beliau berkata, kegiatan kumpulan tersebut terbongkar apabila dirakam menerusi kamera litar tertutup yang dipasang di Masjid Al-Kauthar Umbai di sini kira-kira 2 pagi pada 17 Julai lepas yang melibatkan kerugian RM200.

Ekoran itu, pihak polis melancarkan Ops Pintu bagi mengesan ketiga-tiga suspek sehingga mereka ditahan, katanya.

Muhd Nur Hishammuddin berkata, modus operandi kumpulan ini ialah memasuki kawasan belakang masjid serta surau dan menggunakan pelbagai peralatan termasuk gergaji, sepana dan tukul besi untuk memecah tabung masjid.

Beliau berkata, Udin Tedong dan adiknya masing-masing mempunyai rekod jenayah lampau iaitu mencuri motosikal dan memiliki komponen motosikal curi dan pernah dimasukkan di Sekolah Tunas Bakti.

Ketiga-tiga suspek direman sehingga Rabu ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.