Anggota PDRM Diculik, Kumpulan Penculik Mahu Wang Tebusan

Kota Kinabalu – Rundingan untuk membebaskan Konstabel Zakia Aleip ditangguhkan kerana permintaan wang tebusan yang tinggi.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata wang tebusan yang diminta oleh kumpulan penculik terbabit terlalu tinggi.

“Kita memerlukan masa untuk berunding kerana wang tebusan yang diminta terlalu tinggi,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis negeri di Kepayan.

Jalaluddin berkata pihaknya akan berusaha untuk menyatukan kembali anggota polis berusia 26 tahun itu dengan keluarganya setelah diculik kumpulan bersenjata sekitar jam 11.10 malam di Mabul Water Bungalow Resort, Semporna.

Dalam kejadian tembak menembak dengan penceroboh, seorang anggota polis, Koperal Ab Rajah Jamuan terbunuh dan mayatnya ditemui terapung di bawah jeti.

“Sejak diculik, dia (Zakia) telah menghubungi isteri, ahli keluarganya dan pihak kami. Sebanyak 42 panggilan telefon telah direkodkan di mana ia dibuat di lokasi berbeza.

“Panggilan itu biasanya dibuat pada tengah hari dan petang iaitu pada jam 12 tengah hari, 2 petang, atau 5 petang. Semua panggilan itu dipantau,” katanya.

Menurutnya, Zakia selamat dan sihat dan menurut Zakia, mereka banyak berpindah tempat ekoran diburu oleh pihak berkuasa tempatan.

Selain Zakia, seorang pengusaha kolam ternakan ikan, Chan Sai Chun, 32 tahun juga masih ditahan oleh kumpulan penculik selepas satu lagi kumpulan bersenjata dipercayai dari Selatan Filipina menculiknya pada 16 Jun lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.