Lebih Sejam Derita Tangan Tersepit Mesin Cetak

IPOH – Seorang lelaki berusia 36 tahun terpaksa menahan sakit kira-kira satu setengah jam selepas tangan kanannya tersepit dalam mesin pencetak di sebuah syarikat pengiklanan di Jalan Perindustrian Silibin di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, mangsa yang juga pekerja syarikat berkenaan, Muhammad Nizam Ramli cedera di pergelangan tangan kanan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh, Mohd Subri Hussin berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 5.05 petang sebelum mengerahkan anggota bomba ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian lima minit kemudian, pihaknya mendapati tangan kanan mangsa masih tersepit pada mesin pencetak di premis berkenaan.

“Anggota bomba bertindak menggunakan alat menyelamat termasuk pemotong hidraulik bagi mengeluarkan tangan mangsa.

“Kerja menyelamat mengambil masa kira-kira satu jam 30 minit,” katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk menerima rawatan lanjut.

Katanya, operasi menyelamat tamat pada jam 7.02 malam. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.