Pakatan Harapan Berdepan Masalah Besar Kata Tuan Ibrahim

KOTA BHARU – Pas menyifatkan kesungguhan Tun Dr Mahathir Mohamad membela dan mengangkat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri menunjukkan Pakatan Harapan bermasalah besar, kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata, Pas mengakui Anwar menjadi mangsa politik sejak dari awal lagi dan kini Tun Mahathir cuba menjulang semula Anwar, lapor Sinar.

“Bagi saya kenyataan Tun Mahathir itu, mahu kata ia (Anwar) mangsa politik, kita akui. Sebab dari awal dulu dia ditendang keluar, ditangkap ditumbuk di depan mata dan sebagainya.

“Dan akhir-akhir ini bila dia (Tun Mahathir) tidak dapat satu tokoh, maka cuba dinaikkan semula (Anwar). Tun Mahathir minta (Anwar) dibebaskan. Bagi saya ini kemelut dalam PH (Pakatan Harapan) yang mereka tidak boleh selesaikan,” katanya kepada media di JKR 10 semalam.

Terdahulu beliau menghadiri Mesyuarat Akhir Jawatankuasa Induk Program Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah (Rantau Asia) yang akan diadakan pada 20 hingga 22 Julai ini di Kota Bharu.

Terbaharu, Tun Mahathir memberitahu media United Kingdom, The Guardian yang Anwar adalah mangsa dendam politik dan diperlakukan secara tidak adil.

Presiden Bersatu itu juga dalam kenyataannya menyokong Anwar menjadi perdana menteri jika dibebaskan.

Tuan Ibrahim juga menganggap Anwar yang dikaitkan dengan isu moral sebagai mangsa konspirasi kerajaan zaman pemerintahan sebelum ini.

Sesuatu yang menampakkan Pakatan Harapan yang diketuai DAP itu sedang keliru dalam soal menamakan calon perdana menteri apatah lagi Tun Mahathir sendiri yang sebelum ini menyingkirkan Anwar.

“Kalau kata dia mangsa, saya fikir bagi Pas sejak dari awal lagi bahawa isu yang berkaitan dengan isu syarak mesti dikembalikan kepada mahkamah syariah.

“Bagi kita tanpa pembuktian syarie maka kita masih lagi menganggap dia menjadi mangsa konspirasi. Syarak menuntut kepada pembuktian. Itu jelas pendirian parti sejak dulu lagi,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.