Kerap Panaskan Bangku Simpanan Punca Rooney Beralih Ke Everton

PEMAIN baru Everton, Wayne Rooney, mengakui adalah sukar untuk memanaskan bangku simpanan di Manchester United, musim lepas, yang mendorongnya untuk angkat kaki.

Rooney kembali menyertai Everton selepas 13 tahun di Old Trafford yang menyaksikan dia muncul penjaring terbanyak kelab dan memenangi setiap trofi utama kelab yang dipertandingkan.

Begitupun, pemain berusia 31 tahun itu hanya memulakan perlawanan dalam 15 penampilan sahaja pada musim lalu dengan merekodkan lima jaringan susulan ketibaan Jose Mourinho.

Rooney mendapat situasi itu sukar untuk ditelan meskipun dia cuba kekal positif ekoran peranannya sebagai ketua pasukan United, dan dia berpendapat perlu beraksi secara kerap untuk mencapai kemuncak prestasi.

“Jelas sekali ia amat mendukacitakan,” kata Rooney.

“Ia merupakan kali pertama dalam karier saya tidak bermain. Ia bukan saya — saya perlu beraksi.

“Saya kecewa namun oleh kerana saya adalah ketua pasukan, maka saya perlu mengekalkan suasana positif.

“Saya menikmati detik saya di sana tetapi perlu beraksi lebih kerap, saya kurang beraksi pada musim lepas dan sedar saya akan mempamerkan aksi terbaik andai diturunkan secara konsisten.

“Saya gemar beraksi dan itulah yang saya mahu lakukan. Saya bercakap dengan Jose dan ia adalah masa yang tepat untuk saya berhijrah dan beraksi di tempat lain.”

Rooney tidak perlu menunggu lama untuk berdepan United, kedua-dua pasukan akan bertemu di Old Trafford pada 17 September nanti.

“Saya akan ke sana untuk cuba mendapatkan tiga mata buat Everton,” katanya.

“Saya mengharungi detik hebat di Manchester United tetapi perlu meneruskan kehidupan bola. Pemain berhijrah dan saya kembali ke Everton.”

Rooney turut diketepikan dalam dua perlawanan bersama skuad England, sekaligus mencetuskan kebimbangan mengenai masa depannya di peringkat antarabangsa dengan Piala Dunia di Russia akan berlangsung tahun depan.

“Saya hanya fokus untuk beraksi baik di Everton.

“Jika saya akan kembali beraksi, maka Gareth Southgate perlu membuat keputusan.

“Kalau saya beraksi bagus di Everton, dia tidak boleh mengabaikan saya.” – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.