Kadar Kekal, Tiada Cadangan Kenaikan Tol

PETALING JAYA — Kementerian Kerja Raya menegaskan tiada sebarang perbincangan dibuat berkenaan kenaikan kadar tol setakat ini.

Timbalan Menterinya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata keputusan untuk mengekalkan kadar tol bagi 12 konsesi lebuh raya seperti yang diumumkan pada tahun lepas masih tidak berubah.

“Setakat ini, tidak ada (perbincangan berkaitan kadar tol), tiada keputusan seperti itu,” katanya ketika ditemui pemberita dekat sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai sebarang kenaikan kadar tol susulan terdapat empat lebuh raya yang berhak menerima kenaikan tol tahun ini.

Empat lebuh raya tersebut adalah Lebuhraya Penyuraian Trafik Johor Timur (EDL), Lebuhraya Kajang–Seremban (LEKAS), Lebuhraya Senai–Desaru (SDE) dan Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE).

Terdahulu, Rosnah hadir menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada 40 anak yatim pusat kebajikan Baitul Ulfah Centre pada majlis rumah terbuka anjuran Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (LITRAK). — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.