Jersi Mokhtar Dahari Antara Koleksi Peminat Tegar

KUALA LUMPUR – Tidak mahu sejarah kegemilangan bola sepak negara dilupakan dan ditelan zaman, seorang anak muda mengambil inisiatif mengumpul koleksi barangan sukan itu yang pernah dikeluarkan seawal tahun 1933.

Bermula dengan sehelai jersi milik pemain legenda era 1970-an Datuk Mokhtar Dahari yang diperoleh ketika masih menuntut di universiti, Mohd Faiz Ajis, 34, terus menjejaki sejarah bola sepak negara melalui pelbagai koleksi lain termasuk medal, cenderamata dan buku perlawanan, lapor Bernama.

“Harimau Malaya merupakan pasukan digeruni lawan dan antara yang terkuat di Asia suatu masa dahulu, namun tidak banyak peninggalan atau bahan yang boleh dikenang oleh generasi masa kini dan akan datang.

“Jadi, dengan mengumpul barangan seperti ini diharap pasukan bola sepak negara dan jasa pemain yang pernah mengharumkan nama Malaysia akan terus diingati,” kata.

Sehubungan itu, anak kelahiran Petaling Jaya, Selangor itu berkata kebanyakan koleksi miliknya terdiri daripada barangan khas yang dikeluarkan sempena Pesta Bola Merdeka, sebuah kejohanan bola sepak tahunan yang diadakan untuk meraikan ulang tahun kemerdekaan Malaysia sejak tahun 1957.

Sehingga kini, dia telah berjaya mengumpul kira-kira 200 jersi, 100 cenderamata dan 100 buku perlawanan yang disimpan di rumahnya.

Dalam pada itu, selain jersi bekas pemain seperti Mokhtar, Azman Adnan dan Zainal Abidin Hassan, koleksi menarik dimilikinya termasuk medal kejohanan bola sepak sejak zaman Malaya serta baju batik dan blazer milik jurulatih yang pernah dipakai ketika kelayakan Olimpik Moscow 1980.

Menurut Mohd Faiz, dia menghabiskan kira-kira RM20,000 mendapatkan barangan yang dianggap langka (jarang ditemui) daripada pelbagai sumber antaranya kedai barangan antik, koleksi peribadi pengumpul lain malah ada yang diperoleh daripada bekas pemain sendiri.

“Kebanyakan koleksi khazanah bola sepak saya tidak ternilai harganya, masing-masing ada sejarah tersendiri dan ia amat sukar diperoleh dan tak ramai boleh memilikinya,” katanya.

Dalam pada itu, selain usaha mempertahankan khazanah itu, Mohd Faiz juga bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak seperti muzium, persatuan bola sepak atau badan bukan kerajaan (NGO) untuk mewujudkan pusat pameran atau muzium khas seperti National Football Museum yang terdapat di Manchester, England.

“Ia sebahagian daripada sejarah negara… kita harus berbangga dengan warisan bola sepak kita selain mengambil iktibar dalam mengembalikan kehebatan dan kemasyhuran tersebut,” katanya.

Menurut Mohd Faiz bagi menambah nilai sentimental sesuatu koleksi, dia juga tidak melepaskan peluang bertemu dengan pemilik asal untuk menurunkan tandatangan pada barangan tersebut.

“Ada yang terkejut apabila saya bawa dan tunjukkan barangan itu kepada mereka, mereka kagum, hairan dan tertanya-tanya juga dari mana saya dapatkan barang tersebut,” kongsinya.

Tambahnya, dia yang meminati sukan itu sejak berusia tujuh tahun juga berhasrat menghasilkan sebuah buku berkaitan koleksi berkenaan yang boleh dijadikan bahan rujukan dan sumber sejarah bola sepak negara untuk generasi masa akan datang.

“Buat masa ini saya menulis dan membuat perkongsian melalui blog kelabjersikita.blogspot.my, menerusi Internet capaian perkongsian ini tentunya lebih meluas dan global,” katanya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.