Halim Othman Sedih Tinggalkan Suria FM

PETALING JAYA — Penyampai radio Halim Othman tidak mampu menyembunyikan kesedihannya untuk berpisah dengan dua rakan di segmen pagi Suria FM.

Halim, 52, berkata walaupun sudah 17 tahun mengendalikan segmen pagi, namun kenangan bersama Zulin Aziz dan Fizi Ali tetap terpahat dalam ingatan.

“Perasaan bercampur-campur. Saya sukakan Shahrol tetapi selepas setahun rapat dengan Zulin, ada rasa sedih untuk berpisah.

“Tetapi untuk memberi laluan kepada Shahrol tiada masalah. Meninggalkan dua budak itu sedikit sedih dan juga pendengar yang sudah bersama dengan saya.

“Pendengar menghantar mesej kepada saya jangan pergi tetapi mereka perlu menerimanya,” katanya kepada ProjekMMO.

Bekas pengacara Roda Impian itu ditemui ketika majlis mengumumkan pelawak Shahrol menggantikan tempatnya sebagai penyampai Suria Pagi.

Shahrol akan bergandingan dengan Zulin dan Fizi di Suria FM dari 5 pagi hingga 10 pagi setiap Isnin hingga Jumaat.

Halim berkata penstrukturan itu harus diterima walau banyak kenangan yang terukir antara mereka bertiga sejak setahun lalu.

“Zulin semua orang tahu sangat berbakat. Fizi pula mempunyai semangat untuk belajar dan memberikan banyak kerjasama.

“Saya sayang dua orang itu. Ada kesedihan untuk berpisah dengan mereka.

“Bila kita bangun pagi setiap hari berjumpa dengan orang yang sama, pasti merasakan ada ikatan.

“Menghabiskan masa bersama mereka lima jam sehari, merekalah orang paling dekat dengan saya,” katanya. – Malaymail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.