Eksport Negara Dijangka Berkembang 16 Peratus

KUALA LUMPUR – Eksport negara diunjur berkembang lebih tinggi sekitar 16 peratus tahun ini terutama disokong oleh pertumbuhan ekonomi domestik yang dijangka tumbuh lima peratus manakala inflasi berlegar secara purata empat peratus.

Dengan prospek global yang dijangka kekal sihat, peningkatan dalam perniagaan global dan keyakinan pengguna di negara membangun dan ekonomi baharu muncul, ia akan terus memberi kelebihan kepada eksport Malaysia.

Ketua Penganalisis Ekonomi Ambank Research, Anthony Dass berkata, eksport akan terus mencatat prestasi lebih baik pada separuh kedua tahun ini apabila menyaksikan pertumbuhan yang kukuh dari segi import perantaraan dan barangan modal terma­suk harga komoditi yang stabil.

Selain itu katanya, risiko geopolitik dan perlindungan walaupun masih ada tetapi semakin berkurangan dan ini sepatutnya membantu eksport negara dalam perlombongan dan kuari serta pertanian dan perkilangan.

“Malah, kami juga mendapati eksport ke China melonjak 51.5 peratus dan merupakan tertinggi dalam tempoh tujuh tahun de­ngan sebahagian besar dalam eks­port produk petroleum, bahan kimia serta elektrik dan elektrikal.

“Dalam masa sama, eksport ke Amerika Syarikat (AS) berkembang 16.3 peratus manakala ASEAN pula me­ningkat 30.3 peratus, setelah kali terakhir mencatat prestasi sedemikian pada Julai tahun lalu,” katanya dalam nota kajian di sini hari ini.

Buat pertama kali dalam tempoh 12 bulan, eksport berkembang lebih tinggi berbanding import, meningkat 32.5 peratus berbanding 30.4 peratus sebelum ini disokong oleh peningkatan dagangan global dan harga komoditi yang stabil.

Menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, dari Januari hingga Mei 2017, jumlah perdagangan berkembang sebanyak 25.4 peratus kepada RM722.89 bilion, eksport naik sebanyak 23.3 peratus kepada RM377.96 bilion, manakala import menokok sebanyak 27.7 peratus kepada RM344.93 bilion dan lebihan perdagangan berjumlah RM33.03 bilion.

Sementara itu, HLIB Research mengekalkan unjuran lebihan dagangan akan rendah sedikit sekitar RM85 bilion tahun ini berbanding RM87.3 bilion pada 2016 dengan mengambil kira eks­port kasar yang berkembang 23.4 peratus manakala import 27.7 peratus dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.

“Berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi perbelanjaan komponen, kami menjangkakan eksport bagi barangan dan perkhidmatan akan berkembang tujuh peratus tahun ini (berbanding 1.1 peratus pada 2016) manakala import pula 9.1 peratus (berbanding 1.1 peratus pada 2016).

“Kami percaya pertumbuhan eksport akan terus menarik permintaan bagi produk elektronik dari China termasuk jualan semikonduktor yang tinggi di peringkat global,” katanya.

Firma penyelidikan, MIDF Research percaya permintaan global yang pesat akan terus menyokong aktiviti ekport, termasuk dari segi dagangan luar Malaysia akan mencatat prestasi lebih baik pada separuh kedua 2017.

“Prestasi dagangan luar yang dijangka lebih baik tahun ini terus memberi kelebihan kepada eksport berorientasikan industri seperti perlombongan dan kuari, pertanian dan perkilangan,” katanya. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.