‘Ikutkan Hati Saya Mahu Tampar Wanita Itu’

BANGI – “Kejam! Lebih teruk daripada binatang.” Hanya itu yang boleh diungkapkan kepada seorang ibu yang sanggup mengerat bayi yang baru dilahirkannya kepada lapan bahagian dan membuangnya ke dalam tangki najis.

 

Meluahkan kesedihannya, Pakar Perunding Perubatan Reproduktif, Jabatan Obstetriks & Ginekologi Hospital Sultanah Bahiyah, Dr Murizah Mohd Zain, berkata beliau tidak boleh membayangkan bagaimana seorang manusia dapat bertindak sekejam ini.

 

“Tindakan wanita tersebut sudah melampaui batas kebinatangan kerana binatang pun tidak akan melakukan perkara seperti itu ke atas insan yang lahir dari rahimnya.

 

“Jika betul dia waras ketika melakukannya, maka saya menyeru supaya dia dihukum dengan hukuman berat supaya menjadi pengajaran pada yang lain,” katanya.

 

Semalam, polis mengesahkan mayat bayi perempuan yang ditemui di Kampung Manggol, Jitra dikerat lapan bahagian oleh ibunya sebelum dibuang dalam tangki najis.

 

Bayi malang itu dikerat menggunakan objek tajam di bahagian kepala, dada hadapan, bahagian belakang, abdomen bawah, kaki kanan dan kiri serta tangan kanan dan kiri.

 

Kesemua lapan bahagian itu telah ditemui.

 

Wanita itu melahirkan bayi dengan cara berdiri dan telah membuang bayi tersebut di dalam tangki najis.

 

Setakat hari ini, suspek sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar kerana berlaku pendarahan di bahagian rahim.

 

Dr Murizah berkata, jika diikutkan hati, beliau mahu pergi ke wad di mana wanita ini berada dan menamparnya tetapi atas sikap profesional, niat itu dibatalkan.

 

Dr Murizah yang juga Ketua Wanita Isma Cawangan Alor Setar berkata keadaan masyarakat sudah terlalu teruk, apatah lagi apabila zina sudah berleluasa.

 

“Mungkin inilah implikasi daripada perbuatan zina. Dalam keadaan seperti ini saya amat yakin perkara yang boleh mengubati gejala ini adalah hukuman keras yang disaksikan umum.

 

“Ini supaya menimbulkan kegerunan dalam hati yang melihatnya. 100 kali sebatan dan rejam sampai mati di khalayak ramai adalah satu didikan yang paling baik untuk masyarakat yang semakin rosak,” katanya.

 

Menurut polis, suspek adalah anak tunggal, tidak bekerja dan masih belum berkahwin. – IsmaWeb

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.