Filem GangsteRock Taruhan Pertama Soffi Jikan

“SOFFI Jikan mengarah filem?.. “Bolehkah dia bikin filem? “Filem apa….?

 

Mungkin itulah pertanyaan yang bermain di minda masyarakat apabila ada yang mengaitkan pelakon yang hanya popular dengan watak sampingan sebelum ini dikaitkan dengan dunia pengarahan filem.

 

Namun hakikatnya, tidak semestinya, pelakon sampingan itu tidak boleh menakluki kerusi pengarah.

 

Buktinya, Soffi atau nama sebenarnya Muhammad Soffi Jikan, 45, kini berjaya bergelar pengarah untuk sebuah filem yang diberi nama Gangsterock Kasi Sengaaat.

 

Filem terbitan YKS Film Maker Sdn Bhd ini bakal menemui penonton pada 17 Julai ini iaitu pada hari raya pertama di pawagam seluruh negara.

 

Bagi yang mengenali anak kelahiran Kuala Terengganu ini, sebenarnya dia telah menjadi pengarah bagi beberapa program termasuk iklan korporat dan telefilem untuk beberapa stesen televisyen.

 

“Saya sebenarnya telah lama menjadi pengarah, tetapi pengarah bagi beberapa iklan korporat dan telefilem di beberapa stesen televisyen negara, cumanya saya tidak berani lagi mengarah filem untuk tontonan umum ketika itu.

 

“Sekarang sahaja saya berani untuk arahkan filem pertama saya ini dengan dibantu beberapa rakan yang sudah berpengalaman dalam bidang ini.

 

“Tambahan sebenarnya impian untuk mengarahkan filem sendiri ini telah lama saya pendamkan, hanya pada 2011 baru ia dapat direalisasikan secara berperingkat,” katanya ketika ditemui pada majlis previu dan sidang media filem Gangsterock, baru-baru ini.

 

Filem ini mengisahkan tentang Shake (Soffi Jikan) mencuba nasib menjadi bintang rock di Kuala Lumpur. Dia bertemu dengan Brono (Saiful Apek) yang mahu membantunya.

 

Namun gangster di Kuala Lumpur  menguasai ekonomi menggunakan cetak rompak dan kekerasan untuk menghapuskan saki baki penentangan di kalangan rockers.

 

Hanya dengan semangat rockers sejati, bersatu menentang kezaliman dan mencari jalan keluar.

 

Antara pelakon lain yang menjayakan filem ini ialah Izzara Aishah (Mala), Sharifah Amani (Nian), Khir Rahman (Khidir), Aqasha (Rude), Allahyarham Harun Salim Bacik (Zuan) Namron (Dino), Syafie Naswip (Ringgo) dan Z Zamrie (Zam).

 

Terdapat juga penampilan khas beberapa pelakon termasuk Fauziah Nawi, Chef Wan, Mr Os, Ito Blues Gang dan Zaiton Sameon.

 

Pelakon kurang yakin?

 

Sebagai pengarah, Soffi mengakui yang filem sulungnya itu banyak menempuhi dugaan dan cabaran.

 

“Agak sukar bagi saya mulanya untuk meyakinkan pelakon utama menerima tawaran dalam filem ini.

 

“Saya terpaksa berjumpa mereka beberapa kali untuk memujuk agar menerima tawaran berlakon untuk filem pertama saya ini.

 

“Alhamdulillah akhirnya, apa yang saya senaraikan pelakon dalam filem ini antaranya Izara Aishah, Sharifah Amani, Aqasha dan Saiful Apek menerimanya,” katanya.

 

Menurut Soffi, sebelum persetujuan itu dia terpaksa berulang kali memujuk dan berjumpa setiap pelakon untuk yakinkan mereka.

 

“Izara pun pada asalnya menolak dengan alasan ada tawaran telefilem dan sebagainya. Dan dia jugalah antara pelakon terakhir yang menerima tawaran untuk berlakon dalam filem ini.

 

“Saya faham mereka kebanyakannya mahu berlakon dengan pengarah yang terbaik, nama besar dan yang ada seni dalam karya. Saya tiada semua itu,” katanya.

 

Mengulas lanjut, dek kerana jadual kerja pelakon yang sibuk dengan komitmen lain, ia  juga menyebabkan penggambaran filem yang sepatutnya dimulakan pada 2011 terpaksa ditunda ke  2014 untuk diselesaikan.

 

Bagaimanapun, Soffi lega apabila filem tersebut berjaya menjalani penggambaran selama 22 hari pada Januari tahun lalu dengan komitmen yang tinggi daripada pelakon.

 

Cabaran lain juga berlaku atas dirinya apabila sepanjang penggambaran, Soffi sendiri mengalami masalah kesihatan dan demam.

 

“Tetapi saya perlu meneruskan penggambaran kerana tidak mahu jadual artis lain terjejas.

 

“Ada beberapa hari yang saya sakit, nak telan air liur pun tak boleh. Tetapi saya gagahkan juga bekerja kerana tidak mahu menangguhkan lagi penggambaran yang pastinya akan menjejaskan jadual artis lain,” katanya.

 

Filem aksi muzikal komedi terbitan bersama SKT Media & Entertaiment Sdn Bhd dan 1 Film yang menelan belanja sebanyak RM1.5 juta ini juga turut mendapat sentuhan skrip daripda Soffi sendiri.

 

Kerjasama otai filem

 

Dilihat pada watak dalam lakonan filem ini kebanyakan pelakon terdiri daripada mereka yang profesional dan otai-otai dalam dunia pengarahan, justeru ia memudahkan kerja Soffi untuk mengarahkan filem ini.

 

“Saya suka ambil pelakon profesional kerana mereka faham dengan dunia mereka, mereka sendiri yang mahu tolong kawan-kawan sendiri.

 

“Contohnya babak Mr Os di dalam teksi bersama Sharifah Amani, merupakan hasil idea Mr Os sendiri yang dilakukan mengikut kebebasan dirinya.

 

“Tetapi sebelum dijayakan, kami akan berbincang dulu mengenai idea babak tersebut. Begitu juga dengan pelakon lain seperti Khir Rahman yang memberikan idea untuk mereka bawakan watak,” katanya.

 

Dia juga mengakui sepanjang menjayakan babak, sering berlaku pertengkaran di antara dia dan beberapa pelakon.

 

“Kami bertekak bukan kerana masalah, tetapi masing-masing ingin berlakon dan meyakinkan watak bagaimana perlu mereka lakukan.

 

“Sebenarnya, itulah pelakon yang saya suka, apabila mereka masing-masing ingin melontarkan idea dan bertegas dengan cara lakonan mereka,” katanya.

 

Walau bagaimanapun, dia mengakui yang dirinya berasa bersalah sekiranya ada pelakon yang terasa hati dengan layanannya dan cara percakapannya.

 

“Saya takut jika mereka marah dengan cara saya dan tidak boleh terima cara saya begini. Izara pun saya ada marah dan tengking.

 

“Tetapi seperti penerbit memberitahu kepada saya, setiap pelakon dalam filem ini akan diberikan royalti berdasarkan keuntungan kutipan panggung nanti,” katanya.

 

Idea berbeza

 

Sementara itu, Penerbit Eksekutif YKS, Serina Datuk Redzuawan yang ditemui pada majlis sama berkata, pihaknya berani menjadi penerbit dan mengambil Soffi untuk filem tersebut kerana idea yang dibentangkan sangat menarik.

 

“Ketika Soffi menceritakan mengenai idea filem ini, saya rasa ia berbeza dari filem sedia ada yang kebanyakan mengenai cinta dan aksi perlumbaan.

 

“Kali ini, Soffi mahu mengetengahkan cerita rock dan komedi yang lebih santai. Tambahan sesuai dengan tayangan pada hari raya pertama yang pastinya penonton mahukan sesuatu yang segar dan gembira,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.