Dakwaan Terhadap Rosmah Berniat Jahat

KUALA LUMPUR – Dakwaan laporan Sarawak Report kelmarin terhadap isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor bahawa sejumlah RM2 juta telah didepositkan ke dalam akaun bank milik beliau adalah tidak berasas dan berniat jahat.

 

Firma guaman Tetuan Noorhajran Mohd Noor yang dilantik Rosmah berkata dalam satu kenyataan malam ini akaun bank yang dirujuk oleh Sarawak Report adalah akaun peribadi  anak guamnya yang dibuka pada tahun 1984 semasa beliau bekerja dengan Island & Peninsular Sdn. Bhd., (kini dikenali sebagai I&P Group Sdn. Bhd) untuk kemudahan beliau.

 

Pada masa itu lokasi syarikat yang dimaksudkan dan Perwira Habib Bank Bhd (nama terdahulu Affin Bank Bhd) terletak dalam bangunan yang sama, Wisma Equitorial di Jalan Sultan Ismail, di sini.

 

Kenyataan itu juga menyebut di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758) yang bermatlamat ke arah meningkatkan kestabilan sistem kewangan, pihak bank sepatutnya memberikan perkhidmatan yang adil, profesional dan bertanggungjawab selain daripada berusaha melindungi hak dan kepentingan pelanggan mereka.

 

Perlindungan dan kerahsian serta kekangan terhadap pertanyaan khusus kepada pelanggan tertentu juga diberikan di bawah Akta yang sama.

 

Laporan Sarawak Report menampakkan seperti bank tidak melaksanakan fungsinya terhadap anak guamnya dan diharap Bank Negara Malaysia (BNM) akan melakukan siasatan dengan kadar segera dalam tempoh 72 jam dan mengeluarkan penemuan terhadap pendedahan tanpa kebenaran oleh pihak bank yang dimaksudkan.

 

“Anak guam saya berpandangan kegagalan BNM untuk menyiasat dengan segera akan menghakis kepercayaan pelabur dan pengguna institusi kewangan,” katanya.

 

Ia akan memberi persepsi negatif terhadap kawalan institusi kewangan, sistem pembayaran, entiti berkaitan lain, pasaran wang dan pasaran mata wang  asing, katanya.

 

Dakwaan laporan Sarawak Report terhadap anak guamnya yang tidak bertanggungjawab dan berniat jahat untuk mencemar nama baik dan memburuk-burukkan kewibawaan dan integriti anak guamnya yang merupakan isteri kepada Perdana Menteri Malaysia.

 

Berdasarkan dakwaan itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) digesa untuk mengambil tindakan yang sewajarnya di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) sekiranya kandungan laporan itu terbukti menyalahi undang-undang negara.

 

“Anak guam saya tidak melakukan sebarang kesalahan jenayah atau menyeleweng dana dan sekeras-kerasnya menafikan sebarang kaitan dengan dana daripada 1MDB. Laporan itu adalah tidak sopan, berbentuk ancaman, palsu dan berniat untuk mengganggu anak guam saya,” katanya.

 

Clare Rewcastle Brown diketahui umum sebagai Ketua Pengarang Sarawak Report.

 

Dengan mengeluarkan laporan yang tidak benar terhadap anak guam saya dan berdasarkan semangat kewartawanan yang bertanggungjawab, Sarawak Report sepatutnya mempunyai justifikasi terhadap laporan itu.

 

Anak guam saya mengharapkan laporan yang bertanggungjawab, beretika dan memiliki kepatuhan moral terhadap keadilan dan ketepatan. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.