Anggur Ini Bernilai RM30,892

TOKYO –  Segugus anggur Jepun dilelong dengan harga sejuta Yen (RM30,892) atau RM1,194 hanya untuk sebiji anggur, baru-baru ini.

 

Harga untuk segugus 26 biji anggur ‘Ruby Roman’ ini memecah rekod sebagai yang paling mahal dalam lelongan yang diadakan di Kanazawa, 200 kilometer barat laut Jepun.

 

Ini sekaligus melepasi rekod terdahulu, dengan harga sekitar RM16,990 (550,000 Yen) bagi segugus anggur, lapor CTV News.

 

Setiap buah mempunyai berat sekurang-kurangnya 20 gram dan memiliki saiz sebesar bola ping-pong, menurut lembaga pertanian tempatan.

 

Masayuki Hirai, ketua tukang masak di hotel Nikko di Kanazawa berjaya memenangi bidaan tersebut.

 

Awal tahun ini, sepasang tembikai Yubari dari Hokkaido, utara Jepun yang dianggap sebagai simbol status telah dijual dengan harga sekitar RM46,338 (1.5 juta Yen).

 

Sementara itu, sebuah gedung berjaya menjual mangga asli yang ditanam di selatan Jepun dengan harga RM9,267 (300,000 Yen). – TheRakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.