Pengurus Ternakan Ikan Sangkar Berjaya Diselamatkan

KOTA KINABALU: Pengurus syarikat ternakan ikan dalam sangkar warga China yang diculik di Pulau Baik, Lahad Datu sejak 6 Mei lalu berjaya diselamatkan awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, mangsa Yang Zai Lin, 34, telah dibawa ke Sandakan dan dijadualkan ke Kuala Lumpur pada sebelah petang.

Menurut beliau, mangsa yang berasal dari Guangzhao kemudian akan dihantar pulang ke negaranya selepas segala urusan berkaitan diselesaikan.

“Apa yang penting, kita berjaya menyelamatkan mangsa dan siasatan akan tetap dijalankan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi taklimat khas penstrukturan semula Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) di ibu negeri kelmarin.

Sementara itu, difahamkan Zai Lin berjaya dibawa keluar oleh pasukan keselamatan negara ini kira-kira jam 9 malam dari tempat persembunyian kumpulan Abu Sayyaf di Patikul, Kepulauan Jolo.

Turut dipercayai mangsa yang dalam keadaan kurus berjaya tiba di Sandakan kira-kira jam 1 pagi kelmarin.

Mangsa dijadualkan meneruskan penerbangan dari Sandakan ke Kuala Lumpur sebelum diserahkan kepada pihak kedutaan China untuk tindakan lanjut.

Zai Lin diculik sekumpulan lima lelaki dengan dua daripada mereka memakai topeng muka, berbaju celoreng ala tentera dan bersenjata M16 dalam kejadian pada jam 2.45 pagi pada 6 Mei lepas.

Mangsa dikatakan diculik selepas pusat ternakan ikan Wonderful Terrace Sdn Bhd itu diceroboh lima lelaki yang datang menaiki sebuah bot kecil.

Pada penghujung Mei lalu, pasukan keselamatan negara turut berjaya menyelamatkan dan membawa pulang dua wanita warga asing yang menjadi mangsa culik di Resort Singamata, Semporna dekat sini pada April lalu.

Kedua-dua mangsa yang merupakan seorang pelajar warga China, Goa Hua Yuan, 29, dan seorang pekerja resort warga Filipina, Marcy Dayawan, 40, dibawa keluar dari lokasi persembunyian di Kepulauan Jolo, Filipina pada jam 10.30 pagi.

 http://www.theborneopost.com/2014/07/11/pengurus-ternakan-ikan-sangkar-berjaya-diselamatkan/#ixzz379baH2xm

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.