Padah Mencuri

KEMAMAN – Perbuatan seorang penganggur yang dipercayai cuba memecah masuk sebuah rumah membawa padah apabila dia akhirnya ditangkap penduduk kampung sebelum diikat pada tiang elektrik dalam kejadian di Kampung Bakau Tinggi, Chukai, di sini, pagi kelmarin.

Suspek yang berusia 34 tahun dicekup kira-kira jam 7.30 pagi setelah gerak-gerinya yang mencurigakan itu disedari orang kampung yang secara kebetulan melalui kawasan rumah mangsa.

Salah seorang penduduk kampung yang enggan dikenali berkata, kehadiran lelaki itu dihidu apabila penduduk melihat selut kesan tapak kaki pada pagar rumah mangsa kerana suspek disyaki memanjat pagar berkenaan.

“Lepas lihat keadaan itu, penduduk kampung cuba tahan lelaki terbabit tetapi dia cuba melarikan diri menyebabkan berlaku pergelutan,” katanya.

Pergelutan tersebut menyebabkan suspek yang berasal dari Kampung Semayor, Kemasik itu mengalami kecederaan di kepala dan badan.

Sementara menunggu ketibaan polis, suspek terpaksa diikat pada tiang elektrik bagi mengelakkannya melarikan diri.

Lelaki terbabit kemudiannya dibawa polis ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, hasil pemeriksaan mendapati suspek dikehendaki polis bersabit kes curi di Kuantan, Pahang.

Katanya, kes curi itu berlaku pada tahun ini, justeru suspek kemudiannya diserahkan kepada IPD Kuantan untuk tindakan lanjut.

http://www.sinarharian.com.my/edisi/terengganu/padah-mencuri-1.298453

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.