Neymar Mahu Messi Tewaskan Jerman

Kuala Lumpur – Bintang Brazil, Neymar mahukan rakan sepasukannya di Barcelona, Lionel Messi menerajui Argentina untuk meraih kemenangan Piala Dunia bertemu Jerman.

Dalam satu sidang media, Neymar yang mengalirkan air mata dan begitu beremosi berikutan kecederaan tulang belakangnya yang memungkinkannya mengalami kecacatan berharap temannya sekelabnya itu mampu menjulang trofi Piala Dunia dengan membenam cabaran Jerman pada final Isnin ini.

Harapan Brazil untuk menjadi juara Piala Dunia buat kali keenam di halaman sendiri musnah apabila dimalukan dengan teruk oleh Jerman dengan jaringan 1-7.

“Sejarah Messi dalam sukan ini amatlah penting dan beliau telah banyak memenangi kejuaraan dan trofi kemenangan. Saya akan menyokong beliau,” katanya.

“Beliau adalah rakan sepasukan saya dan saya ucapkan selamat berjaya kepadanya.”

Aksi Neymar dalam Piala Dunia terhenti setelah beliau mengalami kecederaan oleh pertahanan Colombia, Juan Camilo Zuniga ketika Brazil memenangi perlawanan peringkat suku akhir itu dengan keputusan 2-1.

Pemain berusia 22 tahun itu mengerang kesakitan setelah diterjah keras oleh pemain Colombia itu dengan lutut di belakang badannya dan apa yang dirisaukan oleh Neymar ialah beliau mungkin berdepan risiko kecacatan.

“Saya bersyukur bahawa situasi ini tidak seserius yang saya sangkakan. Jika keretakan itu dua sentimeter atau lebih, saya mungkin akan berkerusi roda dan ianya sudah tentu sukar bagi saya.

“Perkara ini terjadi pada suatu tahap penting dalam karier saya.

“Perkara tersebut adalah sesuatu yang sangat-sangat saya tidak dapat terima dan cabaran yang dilakukan oleh beliau (Juan Camilo Zuniga) adalah sesuatu yang tidak sepatutnya dilakukan.

“Saya tidak boleh mengatakan bahawa dalam bola sepak akan tiada cabaran atau terjahan seperti itu tetapi sesiapa juga akan memahami bahawa terjahan tersebut sangat tidak normal.

“Apabila seseorang datang daripada belakang sudah tentu saya tidak dapat berbuat apa-apa. Saya tidak dapat mengawal pergerakan dan kesudahannya saya yang cedera,” katanya lagi.

FIFA bagaimanapun tidak akan mengambil tindakan terhadap Zuniga terhadap kekasaran yang dilakukan yang menyebabkan Neymar terpaksa direhatkan daripada sebarang aksi bola sepak selama enam minggu.

Neymar walaubagaimanapun tidak menyimpan sebarang dendam atau perasaan marah terhadap Zuniga yang telah pun memohon maaf terhadap tindakannya itu.

“Sudah tentu saya memaafkan beliau. Saya tidak berasa marah lagi malah belaiu juga telah menghubungi saya sehari selepas perlawanan itu dan memohon maaf. Beliau tidak bermaksud untuk mencederakan saya.”

Neymar kembali ke kem latihan Brazil di Teresopolis untuk pertama kalinya selepas insiden tersebut untuk memberi sokongan kepada rakan sepasukannya selepas dibelasah teruk oleh Jerman di peringkat separuh akhir.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.