Mangsa Roti John Pulang

KLANG – Selama 10 hari dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), mangsa keracunan makanan, Muhammad Qayyim Hamdan,11, gembira apabila dia dibenarkan pulang ke kediaman, petang semalam.

Sambil tersenyum, Muhammad Qayyim kelihatan tidak sabar pulang ke rumahnya di Seksyen 25, Shah Alam.

“Saya sangat gembira,” katanya yang sebelum ini koma beberapa hari ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat keadaannya yang agak serius.

Muhammad Qayyim anak ketiga daripada lima beradik ditemui Sinar Harian di Wad 6B, HTAR bersama ibunya, Siti Nora Kassim, 39, di sini semalam, yang sedang bersiap pulang ke kediaman mereka.

Sementara itu, Siti Nora yang terpaksa menjaga anak ketiganya selama 10 hari di HTAR masih trauma dengan kejadian yang menimpa Muhammad Qayyum serta dua lagi anaknya.

“Kejadian ini satu pengajaran kepada saya dan suami. Selepas ini kami akan lebih beringat. Tapi, kejadian ini bukan penghalang kami untuk beli juadah di bazar Ramadan selepas ini.,” katanya.

“Saya tak akan halang dia makan roti john sebab itu memang makanan kegemaran dia sejak kecil, tapi saya akan lebih prihatin berkenaan aspek kebersihannya,” katanya.
Ketika ditanya adakah dia dan suami akan mengambil tindakan undang-undang terhadap peniaga roti john itu, Siti Nora berkata, dia dan keluarganya merupakan pelanggan tetap kepada peniaga roti john berkenaan dan berhubung kejadian ini mereka sekeluarga reda dan telah pun memaafkan peniaga tersebut.
Terdahulu, empat beradik Nurul Qaisarah Hamdan, 13; Muhammad Qayyim, 11; Nur Qatrunnada, 9; dan Nurul Qasihdayana, 4, dimasukkan ke HTAR Klang akibat keracunan makanan selepas menikmati juadah roti john yang dibeli di bazar Ramadan Taman Sri Muda, di sini, Ahad lalu.
Kesemua mereka pada awalnya di rawat di ICU bagaimanapun tiga daripada empat beradik kecuali Muhammad Qayyum dibenarkan pulang selepas semakin pulih.

http://www.sinarharian.com.my/semasa/mangsa-roti-john-pulang-1.298423

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.