Ketika Dunia Gembira Dengan Bola, Rakyat Palestin Derita Diserang Bola Api

Ketika rakyat dunia bergembira dengan bola Piala Dunia 2014, rakyat Palestin di Gaza sedang menderita dengan bola-bola api apabila Israel melancarkan serangan besar-besaran ke atasnya.

Pada masa sama, Palestin membalas dengan tembakan peluru berpandu Al Qassam ke beberapa bandar di Israel.

Susulan itu, semua pihak di Malaysia mengecamnya namun sebahagian besar rakyat terus bergembira dengan bola sepak.

Ahad ini, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaludin Abu Bakar mengajak rakyat Malaysia ke Dataran Merdeka untuk bersama bergembira sambil menonton pertandingan akhir Piala Dunia 2014 antara Jerman dan Argentina.

“Perdana menteri akan turut bersama kita semua,” kata Khairy dalam siaran radio popular Radio Era sambil menambah:”Saya harap PM tidak akan sokong Argentina.”

Ketika ditanya penyampai radio Era mengapa beliau berkata demikian, beliau menjawab:”Kerana semua pasukan yang disokong PM kalah,” katanya yang menyokong Argentina.

Sebelum pertandingan bermula, Datuk Seri Najib Razak berkata, pasukan Sepanyol menjadi pilihannya, namun terbukti Sepanyol pulang awal.

Sementara itu, PAS mengambil pendekatan mengajak semua penyokongnya mengadakan solat hajat dan membaca Qunut Nazilah ketika bersembahyang bagi memohon agar saudara Islam di Gaza selamat dan Israel dihancurkan.

Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PAS melahirkan rasa dukacita dan simpati yang tinggi di atas nasib menimpa saudara Islam di Palestin.

Katanya, PAS mengajak seluruh umat Islam untuk sama-sama mendoakan keselamatan rakyat Palestin ketika ini.

“Kita minta supaya semua majlis khususnya ketika terawih, baca Qunut Nazilah. Walaupun tradisi qunut selepas hari 15, tapi kita minta terus buat,” katanya.

PAS juga merancang perhimpunan khas bagi membantah serangan itu.

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengutuk sekeras-kerasnya serangan zionis terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza sewaktu umat Islam kini menjalani ibadah Ramadan.

Beliau turut kesal dengan sikap pemimpin negara Islam, terutama Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dalam menyatakan bantahan, lapor KedilanDaily.

DAP juga mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak berperikemanusiaan rejim zionis Israel yang meneruskan serangannya di Tebing Gaza, serta mendesak masyarakat antarabangsa segera campur tangan bagi menghentikan peningkatan jumlah kematian di sana.

Roket Kini melaporkan Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng berkata, serangan itu lebih terkutuk memandangkan kepimpinan Hamas sendiri sudah menyeru gencatan senjata bagi menamatkan pertempuran terbaru itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.