KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Terengganu akan menyalurkan bantuan kewangan secara one-off keseluruhan sebanyak RM3,000 kepada 15 buah keluarga mangsa kemalangan yang telah meninggal dunia di mana sejumlah RM1,000 telah diberikan kepada keluarga mangsa baru-baru ini.
Bagi mangsa yang cedera pula, Kerajaan Negeri akan menyalurkan bantuan kebajikan sebanyak RM1,000 kepada 33 mangsa yang terlibat.
Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri sangat terkesan dengan tragedi ini dan komited untuk membantu sebaik mungkin.
“Kerajaan Negeri Terengganu melahirkan rasa dukacita yang amat mendalam terhadap tragedi kemalangan bas yang melibatkan pelajar-pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik, Perak, baru-baru ini.
“Kejadian yang meragut 15 nyawa serta mencederakan ramai pelajar lain amat menyentuh hati seluruh rakyat, khususnya di Terengganu.
“Sehubungan itu, kerajaan negeri menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bertarikh 11 Jun 2025 bersetuju untuk memberikan sumbangan kepada semua mangsa yang terlibat sebagai tanda keprihatinan dan solidariti terhadap keluarga yang ditimpa musibah.
“Kerajaan negeri juga memohon seluruh rakyat Terengganu agar terus mendoakan kesejahteraan mangsa yang terlibat dan semoga keluarga mereka diberi ketabahan dalam menghadapi ujian ini,” ujarnya dalam kenyataan pada Rabu.