Struktur subsidi diesel tampung keperluan pengangkutan awam, STR – PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Penjimatan RM4 bilion yang diraih menerusi penyasaran semula subsidi diesel akan dibelanja bagi menampung keperluan kos pengangkutan awam serta Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kos bagi STR yang kini memanfaatkan sembilan juta penerima sudah mencecah belanja RM10 bilion.

“Wang (penyasaran subsidi) itu bukan untuk naikkan elaun menteri atau kementerian lain. Penyasaran subsidi ini untuk pastikan ia tidak diberi kepada maha kaya dan warga asing.

“Kalau diesel sebahagiannya untuk menampung keperluan pengangkutan awam, pengangkutan rakyat, sebahagiannya untuk tambah suntikan tunai rahmah yang skim ini mencecah RM10 bilion.

“Skim Sumbangan Asas Rahmah (SARA) naik dari RM300 ke RM700. Bayangkan STR untuk sembilan juta orang yang (dapat) ‘direct cash’ subsidi, itu (jumlahnya) RM10 bilion,” katanya memetik BH di Putrajaya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan (MOF) pada Selasa.

Turut sama hadir, Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Anwar berkata, penyasaran subsidi diesel adalah langkah ketiga dilaksana kerajaan bagi menstruktur semula agihan subsidi negara, selepas tarif elektrik dengan penjimatan RM4.5 bilion dan pengapungan harga ayam dan telur RM1.2 bilion.

“Ditarik subsidi ini bukan dinaikkan harga. Ditarik subsidi (maknanya tarik) bantuan kepada golongan maha kaya dan orang asing, itu kita lakukan.

“Ini langkah ketiga terbesar. Pertama tarif elektrik, kurang kontroversi kerana kita selamatkan 85 peratus rakyat, ia terkena hanya kepada golongan tertinggi 15 peratus ke atas dan warga asing yang kita dapat jimatkan RM4.5 bilion setahun.

“Pengapungan (harga) ayam menelan belanja RM1.2 bilion setahun. Bayangkan dari zaman dulu, setiap kali menjelang musim perayaan mesti naik harga barang, maka kita beri subsidi untuk sederhanakan harga,” katanya.

Perdana Menteri berkata, langkah kerajaan mengapungkan harga ayam misalnya, menyaksikan tiada kenaikan mendadak ke atas sumber protein itu sepanjang musim perayaan lalu.

Justeru, katanya, kerajaan akan memantau tahap inflasi kesan dari pengumuman penyasaran subsidi ini bagi memastikan rakyat memerlukan termasuk golongan rentan tidak terbeban.

Kelmarin, kerajaan mengumumkan harga diesel akan diselaraskan mengikut pasaran semasa bermula semalam, dengan harga permulaan di semua stesen runcit petrol di Semenanjung Malaysia, ditetapkan pada RM3.35 seliter.

Bagi mengimbangi kesan kenaikan itu, kerajaan mengamalkan penyasaran subsidi diesel melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0, termasuk menetapkan harga kepada sektor yang layak seperti logistik.

Selain itu, bantuan BUDI Madani diperuntukkan kepada individu yang layak, termasuk pemilik kenderaan diesel dan petani kecil.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat