Pentauliahan UNESCO kepada PENA satu pengiktirafan kepada sastera Malaysia – Dr Saleeh Rahamad

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), antara tiga Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Malaysia yang ditauliahkan oleh Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi domain Persuratan-Warisan Kebudayaan Tidak Ketara (Intangible Heritage).

PENA akan menerima pentauliahan secara rasmi bersempena sesi ke-10 Perhimpunan Agung UNESCO di Paris selama dua hari bermula hari ini.

Dua lagi NGO yang akan menerima pentauliahan itu ialah Majlis Kraf Malaysia dan PUSAKA.

Presiden PENA, Prof. Madya Dr. Mohamad Saleeh Rahamad berkata, pentauliahan itu merupakan satu pengiktirafan dan penghormatan kepada PENA khususnya dan seluruh ahlinya serta khalayak sastera yang sama-sama mendukung usaha memperjuangkan seni persuratan dan kebudayaan dalam konteks warisan tidak ketara.

“Para penyokong PENA dalam kalangan ahli dan orang awam telah membantu kami secara berterusan sehingga semua aktiviti kami dapat dilaksanakan dengan lancar. Tanpa sokongan GAPENA, DBP, JKKN, MOTAC, Kementerian Pendidikan khususnya MBKM dan Perbadanan Kotabuku serta pelbagai agensi lain, tentulah sukar bagi kami menjalankan amanah sebagai pengembang dan pembangun kebudayaan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Mohamad Saleeh turut berharap pentauliahan itu dapat membuka mata pihak berkenaan agar memberikan ruang dan bantuan kepada PENA untuk terus menjalankan amanah yang terpikul.

“Persatuan ini bukan entiti yang mempunyai dana tetap melainkan terpaksa bergantung pada bantuan pihak-pihak lain. Bidang kebudayaan ini seharusnya dilayan dengan baik dan sistematik bagi memastikan semua organisasi yang berjuang secara tekal dan ikhlas tidak terpaksa meminta-minta apabila mahu menjalankan program.

“Kebudayaan boleh menjadi komoditi dan profesion kepada penggiatnya jika dalam masa yang sama penggiatnya bukan bergerak secara sendirian dan mementingkan diri sendiri. PENA perlu diberi perhatian oleh kerajaan jika tugas ini dianggap penting dan mahu diangkat secara terancang,” katanya.

Keputusan pentauliahan PENA, Majlis Kraf Malaysia, PUSAKA dan 58 lagi NGO dari seluruh dunia sebagai Warisan Kebudayaan Tidak Ketara diumumkan oleh UNESCO pada 9 Disember tahun lepas.

Mohamad Saleeh bersama-sama Timbalan Presiden, Mohd. Khair Ngadiron dan Ahli Jawatankuasa, Rosman Md. Shah akan mewakili PENA pada konvensyen UNESCO itu.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat