Pemulihan banduan tidak tertumpu dalam penjara malah melangkaui tembok – Ahmad Faudzi

- Advertisement -

Oleh: Zihan Zari

KAJANG – Pengarah Bahagian Keselamatan dan Inteligen, Komisioner Penjara Hj. Ahmad Faudzi Awang telah dilantik sebagai Timbalan Komisioner Jeneral Penjara@Deputy Commissioner General of Prison (TKJP) Pemasyarakatan baharu Jabatan Penjara Malaysia, berkuatkuasa 20 Mei lalu.

Beliau menggantikan Dato’ Ibrisam Abdul Rahman yang telah dilantik sebagai Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pengurusan) jabatan itu.

Ahmad Faudzi, anak kelahiran Langgar, Alor Setar, Kedah pada 29 September 1965 ini berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi Sumber dari Universiti Pertanian Malaysia (UPM) 1988 dan Ijazah Sarjana Sains Pengurusan dari Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 1999.

Beliau memulakan karier awalnya di Jabatan Penjara pada 1990 sebagai Timbalan Penguasa Penjara di Unit Dasar & Penyelidikan Ibu Pejabat Penjara Malaysia (IPPM), Bukit Wira.

Figura yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang kepenjaraan itu
bukan calang-calang orangnya pernah menjawat pelbagai jawatan di peringkat institusi penjara, negeri dan jabatan.

Antaranya Timbalan Penguasa Penjara di Penjara Alor Setar (1992), Penguasa Penjara di Penjara Kajang dan Timbalan Pengarah Maktab Penjara Malaysia (1994).

Kemudiannya, Penguasa Kanan di Penjara Alor Setar (2003), Pengarah Akademi Koreksional Malaysia (2006), Pengarah Penjara Pokok Sena (2009), Timbalan Pengarah Keselamatan, IPPM (2007).

Pada 2015 beliau dilantik sebagai Pengarah Penjara Kedah dan berikutan prestasi cemerlangnya itu, beliau telah dinaikkan pangkat sebagai Komisioner Penjara (Commissioner of Prison) Jusa C pada 23 April 2017.

Mengulas lanjut mengenai pelantikannya menerajui sektor Pemasyarakatan Jabatan Penjara, Ahmad Faudzi berkata, beliau telah diberi mandat baru oleh Komisioner Jeneral Penjara, dan menganggapnya sebagai satu cabaran yang cukup berbeza berbanding tugasan atas jawatan yang dipikulnya sebelum ini.

Namun beliau penuh yakin perubahan ini bukanlah sesuatu yang luarbiasa untuk dilaksanakan. Dengan bantuan pengarah bahagian dan kakitangan yang berpengalaman luas, semua urusan yang dipertanggungjawabkan pasti menjadi lebih mudah.

Beliau berkata, sektor ini mempunyai 3 bahagian iaitu Parol & Perkhidmatan Komuniti (BPPK); Agama & Kaunseling (BAKA) serta Hal Ehwal Antarabangsa & Pemindahan (BHEAP).

Sebelum ini program pemulihan hanya tertumpu di dalam penjara sahaja namun Jabatan Penjara menyedari bagi tujuan pemulihan individu yang telah melanggar undang-undang ini tidak boleh tertumpu hanya di dalam penjara, sebaliknya perlu melangkaui batasan atau tembok penjara.

Ini sangat penting kerana, destinasi akhir penghuni penjara itu perlu diberi perhatian, mereka akan dibebaskan juga apabila tamat hukuman.

Di sinilah, tanggungjawab sebenar yang dimainkan oleh sektor Pemasyarakatan, khususnya BPPK.

“Kita mengetahui setiap manusia memerlukan keperluan asas untuk meneruskan kehidupan, dan salah satunya mencari pendapatan melalui saluran yang betul dan tidak melanggar undang-undang yang ada.

“Pendapatan yang diperolehi bukan sahaja untuk menyara diri sendiri tetapi juga keluarga mereka. Di sinilah tanggungjawab dan peranan BPPK untuk membantu mancari peluang pekerjaan bagi menempatkan mereka.

“Tindakan ini bukanlah mudah sepertimana difikirkan, kerana penerangan demi penerangan perlu dijalankan bagi meyakinkan pihak majikan untuk menerima golongan yang dikenali sebagai prospek ini,” katanya.

Tambahannya lagi, pendekatan untuk ‘memasyarakatkan’ prospek ke dalam masyarakat ini boleh dianggap baru di negara ini.

“Sudah tentu akan dan masih ada persepsi yang negatif dari kalangan masyarakat terhadap golongan ini.

“Jabatan Penjara tidak boleh berhenti untuk menerangkan kelebihan sistem dan program pemulihan di luar tembok ini. Pada hakikatnya pendekatan yang sama telah dilaksanakan di kebanyakan negara maju dan terbukti telah memberi impak yang baik serta berkesan.

“Kita tidak boleh menyalahkan masyarakat atas persepsi mereka, sebaliknya kita perlu menjelaskan, supaya masyarakat betul-betul faham tentang perkara ini.

“Jabatan Penjara juga membantu prospek untuk berada dalam persekitaran masyarakat dengan memberi keyakinan kepada mereka dan membuang stigma ‘bekas banduan’,” katanya kepada Wartawan Suara.TV.

Ujarnya lagi, telah banyak pendekatan yang dibuat dengan membawa mereka ini ke dalam kelompok masyarakat.

“Jabatan Penjara menempatkan prospek ini di luar tembok penjara melalui pendekatan dan strategi yang telah ditetapkan.

“Setiap prospek perlu melepasi semua prasyarat dan mengikuti program yang telah diatur. Kesannya amat jelas dan kita menggunakan kayu ukur berdasarkan kes berulang di kalangan mereka yang mengikuti dan diberi peluang kedua ini,” katanya lagi.

Menurutnya, ketika ini kes berulang di kalangan mereka ialah 0.24% berbanding 17.6% kadar pengulangan kemasukan mereka yang tidak dapat mengikuti program pemasyarakatan.

Perbezaan ini amat ketara dan atas dasar itulah pihaknya tidak boleh mengabaikan program pemasyarakatan ini sebagai usaha membantu mereka sebagai matlamat mengembalikan mereka kepada masyarakat.

“Kita sedar, hukuman penjara bersifat sementara namun selepas bebas mereka perlu meneruskan kehidupan kerana mereka ada tanggungjawab untuk kelangsungan hidup kepada diri sendiri dan keluarga .

“Di sinilah, peranan dan tanggungjawab sektor Pemasyarakatan untuk melatih kehidupan di luar dan dalam masa yang sama mendidik masyarakat untuk memberi peluang kedua kepada individu yang pernah dihukum penjara,” ujarnya.

Menurutnya lagi, sektor Pemasyarakatan ini juga di letakkan BAKA, kedua-dua entiti ini boleh dianggap sebagai pelengkap kepada program persediaan membentuk jati diri prospek.

“Kita dibantu dengan guru-guru agama, pakar kaunseling dan pakar psychology dalam membina nilai kerohanian mereka.

“Disamping itu, di bahagian ini juga dipertanggungjawabkan untuk kita membuat penilaian pada peringkat awal prospek sebelum mereka di letakkan dalam masyarakat,” jelasnya.

Ujarnya, mana-mana prospek yang ditempatkan dalam masyarakat, telah melalui pelbagai proses saringan untuk kita mengetahui tahap kebolehan dan risiko setiap mereka. Oleh itu masyarakat tidak perlu bimbang dan ragu-ragu dengan mereka ini.

Alhamdulillah, setakat ini maklumbalas dari majikan yang telah menggunakan khidmat prospek ini amat baik dan memberangsangkan.

Ada juga di kalangan majikan ini meneruskan penggunaan khidmat prospek walaupun mereka telah dibebaskan dari penjara apabila hukuman telah tamat.

“Melalui BAKA juga, kita telah mengenal pasti tahap penguasaan awal ilmu agama Islam setiap individu. Saringan ini telah membantu para guru agama untuk mengetahui apa kelemahan pengetahuan mereka pada peringkat awal.

“Program untuk membantu mereka akan disusun dan diajar untuk memberi didikan kerohanian sebagai membina asas jati diri individu,” ujarnya lagi.

Jelasnya, BHEAP pula berperanan untuk menguruskan pemindahan pulang banduan warga asing untuk menjalani hukuman penjara di negara asal mereka.

Selain itu, pihaknya melihat potensi untuk membawa pulang warganegara Malaysia yang di tahan di negara luar untuk di bawa kembali untuk menjalani hukuman penjara di Malaysia.

Walau bagaimanapun, program ini perlulah melepasi semua peruntukan undang-undang yang telah ditetapkan oleh negara-negara yang terlibat.

“Jabatan Penjara Malaysia bagi pihak kerajaan telah menandatangani triti berhubung pemindahan antarabangsa ini dengan beberapa negara seperti, Brunei dan Ukraine selepas Rang Undang-Undang Pemindahan Antarabangsa Banduan diluluskan pada 2012.

“Selain itu terdapat beberapa negara dalam proses menandatangai perjanjian seperti Thailand, Iran, India, Peru dan Romania.

“Langkah ini dibuat sebagai memenuhi harapan individu dan keluarga mereka yang di tahan di luar negara supaya dapat berdekatan dengan keluarga negara asal, ”jelasnya lagi.

“Sehubungan itu, saya melihat sektor Pemasyarakatan ini sebagai institusi lanjutan dalam usaha mengembalikan individu kepada masyarakat melalui pendekatan dan penglibatan masyarakat itu sendiri.

“Masyarakat harus sedar bahawa hukuman penjara itu hanyalah bersifat sementara dan apabila hukuman itu tamat mereka tetap akan kembali kepada masyarakat juga,” katanya lagi.

Tambahnya lagi, kita tidak boleh menolak realiti yang berlaku ini dan meminggirkan mereka secara berterusan.

Langkah terbaik ialah bersedia untuk memberi peluang kedua kepada mereka ini.

“Saya yakin jika semua pihak termasuk agen masyarakat dapat mengembeling tenaga dan saling bantu-membantu, bersama-sama dengan Jabatan Penjara maka matlamat untuk mengubah cara hidup mereka akan menjadi lebih mudah dan berkesan,” katanya. – Suara.TV.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat