SPR Betulkan Fakta Warta PRU-14 bagi Parlimen Kubang Kerian

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) hari ini membetulkan fakta melalui warta Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang menyaksikan lebihan 20,000 undi bagi kerusi Parlimen Kubang Kerian.

Pembetulan dibuat melalui warta disiarkan Jabatan Peguam Negara itu secara tidak langsung mengakui wujud kesilapan dalam data dikeluarkan SPR, sekali gus mengesahkan laporan dibuat BH.

Berdasarkan pembetulan itu, jumlah 84,867 yang tertera pada warta dikeluarkan pada 28 Mei lalu disahkan bertentangan dan digantikan dengan bilangan 64,867.

Pembetulan dibuat itu berpandukan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981.

Muka depan BH semalam melaporkan wujud lebihan 20,000 undi dalam Parlimen Kubang Kerian di Kelantan pada PRU-14, sekali gus menimbulkan persoalan kemungkinan wujud kehadiran pengundi hantu.

Menerusi warta PRU-14, kerusi Parlimen Kubang Kerian dimenangi calon PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dengan majoriti 11,557 undi.

Beliau yang memperoleh 35,620 undi mengalahkan calon BN, Datuk Seri Muhammad Abd Ghani (16,251 undi) dan calon PKR, Datuk Dr Abdul Halim Yusof (11,557 undi).

Jumlah 63,428 undi diperoleh ketiga-tiga calon itu bertepatan dengan angka baharu dikeluarkan SPR iaitu 64,867 (jumlah keseluruhan undi dikeluarkan), mengambil kira 735 kertas undi rosak dan 704 bilangan kertas undi dikeluarkan tetapi tidak dimasukkan ke dalam peti undi. – Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.