BiKUM Bantu Ceriakan Sambutan Aidilfitri Dua Mangsa Sindiket Dadah

BANGI – Biro Kebajikan UMNO (BiKUM) hari ini menceriakan persiapan sambutan Aidilfitri bagi dua mangsa sindiket penyeludupan dadah antarabangsa dengan membantu membeli pakaian Hari Raya kepada mereka.

Nor Suzanna Azmi dan Noor Azimah Sapie yang pulang ke tanah air pada Mac lalu bersama keluarga masing-masing selepas terkandas di Peru, dibawa membeli-belah di pusat gedung tekstil Jakel di sini.

Pengerusi BiKUM, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata pihaknya mengambil tanggungjawab untuk meringankan beban Nor Suzanna, 36, dan Noor Azimah, 38, yang sedang berusaha membina hidup baru bersama keluarga masing-masing.

Katanya, ia juga sebagai tanda sokongan BiKUM kepada kedua-dua mereka yang bakal menyambut Hari Raya buat kali pertama selepas lebih 12 tahun terperangkap di Peru.

“Sebelum ini, kita tanggung sepenuhnya perbelanjaan mereka dan keluarga untuk pulang ke Malaysia dari Peru dan hari ini juga, kita belikan kelengkapan Aidilfitri untuk kedua-dua keluarga ini sebagai tanda sokongan.

“Setelah menjadi gelandangan dan mangsa sindiket dadah antarabangsa, kita kena beri sokongan supaya mereka dapat menjalani kehidupan seperti biasa dan tidak lagi terjerumus dengan apa yang mereka alami dulu,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Terdahulu, Shamsul Anuar meluangkan masa lebih dua jam bersama Nor Suzanna yang hadir bersama suami dan dua anak, serta Noor Azimah dan anak perempuannya untuk membeli pakaian sempena Aidilfitri.

Nor Suzanna dan Noor Azimah pulang ke Malaysia pada 26 Mac lalu hasil usaha BiKUM dan BH dengan bantuan serta kerjasama Wisma Putra dan Kedutaan Malaysia di Peru.

Ia susulan laporan eksklusif BH pada akhir 2016 mengenai rayuan Noor Azimah, Nor Suzanna dan seorang lagi mangsa keldai dadah, Syzlin Hataman yang terkandas di Peru akibat terpengaruh dengan tawaran melancong oleh anggota sindiket penyeludupan dadah antarabangsa.

Bagaimanapun, Syzlin dari Johor Bharu yang menghidap kencing manis dan asma, meninggal dunia di Peru pada 7 Oktober tahun lalu.

Shamsul Anuar berkata, BiKUM akan berusaha membantu kedua-duanya memulakan kehidupan baharu, khususnya untuk mendapatkan pekerjaan dan membolehkan anak mereka bersekolah seperti kanak-kanak lain.

Sementara itu, Nor Suzanna menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada BiKUM yang masih terus memberi perhatian kepadanya serta Noor Azimah.

“Saya tak dapat nak gambarkan kegembiraan apabila menerima panggilan daripada BiKUM yang mahu terus membantu dan membeli baju raya untuk kami.

“Saya berterima kasih pada Datuk Shamsul, Awie (Setiausaha Operasi BiKUM, Awie Shoubli Jamal) dan Datuk Zaini (Pengarang Eksekutif BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman) yang banyak menolong kami sejak balik ke Malaysia hingga sekarang,” katanya yang terkandas di Peru lebih 12 tahun.

Noor Azimah yang berada di Peru selama 10 tahun turut menzahirkan kegembiraan dan keterujaannya menyambut Aidilfitri yang diceriakan dengan bantuan BiKUM.

“Raya tahun ini memang gembira sangat kerana dapat balik kampung di Negeri Sembilan, dan berjumpa semula dengan semua ahli keluarga,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.