Abdul Khalid Jadi Penasihat Ekonomi Terengganu

KUALA NERUS – Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang ditawarkan jawatan penasihat ekonomi Terengganu menyatakan komitmen membantu Terengganu mencapai keadaan ekonomi lebih baik.

Menteri Besar, Prof Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata Abdul Khalid bersetuju memberi pandangan dan nasihat yang relevan dalam memantapkan ekonomi negeri ini dalam pertemuan yang diadakan sebelum ini.

“Beliau tidak memegang jawatan itu secara rasmi tetapi bersetuju membantu kerana apa yang paling penting bukan jawatan, sebaliknya peranan yang dimainkan.

“Selain Abdul Khalid, kita juga akan bertemu dan mendapatkan pandangan daripada tokoh lain seperti tokoh cendekiawan, ekonomi dan masyarakat.

“Kita percaya kerajaan tidak boleh bergerak dengan sendiri tetapi perlu mendapatkan pandangan dan saranan daripada mereka yang mahir di luar sana,” katanya selepas Majlis Bayaran Bonus Guru Khidmat Masyarakat dan Guru Pintar Al-Quran Negeri Terengganu 2018 di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Yayasan Islam Terengganu, Datuk Dr Alias Abdullah.

Dr Ahmad Samsuri dalam ucapannya pada majlis berbuka puasa bersama anak perantau di Bangi, Selangor pada Sabtu lalu mengakui Kerajaan Terengganu dikunjungi Abdul Khalid seminggu selepas membentuk kerajaan negeri.

Beliau berkata, pihaknya menawarkan jawatan penasihat ekonomi kepada Abdul Khalid susulan keupayaan dan pengalamannya dalam bidang korporat serta berjaya membangunkan Kerajaan Selangor ketika pentadbirannya sejak 2008.

Sementara itu, Dr Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri membelanjakan RM1.8 juta untuk memberikan bayaran bonus kepada guru khidmat masyarakat dan guru pintar al-Quran dengan RM500 setiap seorang.

Katanya, ia membabitkan 1,705 guru bagi program Pintar al-Quran, manakala seramai 1,944 orang lagi membabitkan tenaga pengajar bagi kelas masyarakat. – BH

One thought on “Abdul Khalid Jadi Penasihat Ekonomi Terengganu

  • June 12, 2018 at 8:56 pm
    Permalink

    terbaik bagus Tan Sri Abdul Khalid yang amanah jujur bertanggungjawab … semoga sejahtera sentiasa….

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.