Tiada Arahan Tukar Kawasan Parlimen Shah Alam

SHAH ALAM – Pas menafikan mengeluarkan arahan kepada ahlinya untuk bertukar tempat mengundi ke Parlimen Shah Alam bagi memastikan kemenangan kawasan itu pada PRU14.

Ini berikutan tersebarnya surat yang meminta ahli Pas di kawasan Shah Alam yang berdaftar sebagai pengundi luar kawasan itu menukar tempat mengundi dari kawasan sekarang ke dalam Parlimen Shah Alam.

Antara lain kandungan surat itu menyatakan proses ini penting sebagai usaha melebarkan kemenangan Pas bagi Parlimen Shah Alam dan memastikan sasaran Pas memenangi minima 40 kerusi Parlimen pada PRU14 dapat dicapai.

Menurut Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, arahan sedemikian tidak pernah dikeluarkan pihaknya.

“Dari segi parti tidak ada arahan. Kita juga tidak mengisytiharkan lagi kerusi yang Pas tandingi,” katanya mengulas mengenai kesahihan surat tersebut.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sempena program Munaqasyah Rakyat Peringkat Kebangsaan anjuran Lajnah Penerangan Pas Pusat di Majlis Bandaraya Shah Alam, di sini.

Bagaimanapun katanya, adalah tanggungjawab ahli Pas untuk memenangkan semua kerusi Parlimen yang ditandingi parti pada PRU ini.

“Di Selangor ini, banyak kerusi yang akan ditandingi Pas, maka tanggungjawab ahli memastikan kemenangan Pas,” katanya.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.