Theresa May Terancam Disingkir

London – Anggota Parlimen Parti Konservatif Britain semalam mengancam menyingkirkan Theresa May dalam masa enam bulan selepas parti itu gagal memperoleh majoriti dalam piilihan raya Britain.

Parti itu terjerumus ke dalam ‘perang saudara’ selepas keputusan pilihan raya 8 Jun itu diumumkan kelmarin.

Anggota Parlimen parti berkenaan turut menuntut pembantu rapat perdana menteri itu meletak jawatan.

Ketika laporan tersebar mendakwa ada usaha untuk meminta Teresa meletak jawatan, beberapa pegawai parti berkata, perdana menteri itu akan dipaksa berbuat demikian dalam masa beberapa bulan, paling lama enam bulan.

Parti Konservatif memenangi 318 kerusi, kurang lapan kerusi untuk memperoleh majoriti di Parlimen. Parti Buruh pimpinan Jeremy Corbyn meraih 262 kerusi dalam pilihan raya itu.

Berikutan pertelingkahan sesama sendiri itu, khabar angin juga tersebar mengenai nama bakal pengganti Theresa, antaranya Boris Johnson, David Davis, Amber Rudd dan Michael Gove.

Bagaimanapun, dalam kenyataan yang dibuatnya di luar kediaman rasmi perdana menteri Britain di Downing Street, Theresa berikrar akan membentuk kerajaan baru untuk terus mentadbir Britian, khususnya membawa keluar Britain dari Kesatuan Eropah atau Brexit.

Theresa menjadi perdana menteri selepas pungutan suara mengenai Brexit pada Jun 2016 dan mengadakan pilihan raya tiga tahun lebih awal, kononnya untuk mengukuhkan kuasanya dalam rundingan berkait dengan Brexit.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.